Pesta Walet Beluran Bukti Daya Saing Pertubuhan Peladang

271

BELURAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pertubuhan Peladang telah menganjurkan Pesta Walet Beluran sempena Sambutan LPP50 dengan jayanya di Tapak Tamu Beluran yang dirasmikan menterinya, YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Berucap pada majlis itu, Ronald berkata industri sarang burung walet ini merupakan satu industri berpotensi besar yang mempunyai nilai eksport yang ketara dan boleh dijadikan sebagai sumber kekayaan baru untuk negara dan juga mereka yang terlibat dalam pengusahaan industri sarang burung walet”.

“Beluran ini juga merupakan pengeluar sarang burung walet yang amat ketara di negeri Sabah”, tambah beliau.

Untuk rekod, nilai eksport sarang burung walet Malaysia pada tahun 2021 adalah RM1.8 bilion (kenaikan lebih RM400 juta berbanding tahun 2020), manakala nilai eksport bagi tahun 2022 setakat September 2022 adalah RM1.21 bilion.

Program Pesta Walet Beluran yang diadakan pada hari ini bertujuan untuk mempromosi industri walet kepada komuniti agromakanan luar bandar yang merupakan majoriti masyarakat Peladang selain menyampaikan maklumat dan hebahan tentang pendekatan serta dasar-dasar terkini kerajaan secara terus kepada rakyat di peringkat lapangan.

Pelbagai aktiviti seperti Jualan Murah Keluarga Malaysia, Pameran Jabatan dan Agensi, Pameran Sempena LPP50 yang memaparkan sejarah dan sumbangan LPP melalui pergerakan Pertubuhan Peladang di Negeri Sabah, Kursus Usahawan Walet dan Industri Asas Tani, Bazaar Usahawan, Jualan Beras Murah, Program Pertandingan Memancing, Program MAFI Prihatin, Program NAFAS Prihatin, Pertandingan Masakan dan Ukiran PeladangNita dan lain-lain dilaksanakan sepanjang program ini.

Program ini adalah antara usaha MAFI melalui Lembaga Pertubuhan Peladang bagi mendekati masyarakat peladang di daerah Beluran khususnya mendapatkan pandangan dan maklum balas secara langsung terhadap impak pelaksanaan dasar dan bantuan/insentif melalui Pertubuhan Peladang Kawasan serta memberi jaminan terhadap komitmen serta usaha-usaha berterusan Kerajaan bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup mereka.

Dalam majlis yang sama, Dr Ronald turut menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pemasaran Walet di antara Pertubuhan Peladang Kawasan Beluran dengan Syarikat Nestlin Sdn Bhd yang bernilai RM4 juta setahun untuk tempoh 5 tahun.

Kerjasama ini akan memberi tumpuan dalam lima aspek antaranya: perkongsian kepakaran, strategi pengurusan, perkongsian insfrastruktur, khidmat nasihat dan pemasaran hasil.

Turut diadakan penyerahan Mock Cheque kepada PPK Beluran bagi Program Agriprentice Projek Rumah Burung Sarang Walet dengan nilai RM100,000, Program Peningkatan Aktiviti Akuakultur bernilai RM250,000 dan Mock Cheque kepada Usahawan AgroPelancongan Peladang bernilai RM243,000.

Selain itu, Mock Cheque sebanyak RM10,000 juga diserahkan kepada SMK Beluran di bawah Program My Green Team (Projek Penanaman Sayur Hidroponik) dan penyerahan kit MAFI Prihatin bernilai RM20,000 melibatkan 250 orang ahli PPK Beluran dan Asnaf.

Terlebih dahulu, Dr Ronald telah merasmikan Pusat Pemprosesan Sarang Burung Walet PPK Beluran yang akan memberi manfaat kepada lebih 800 orang pengusaha sarang burung walet di Daerah Beluran serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada sekurang-kurangnya 50 orang anak peladang Daerah Beluran.

Pusat pemprosesan ini yang telah beroperasi sepenuhnya dengan kerjasama Syarikat Nestlin Malaysia Sdn Bhd telah dibangunkan oleh LPP dengan peruntukan sebanyak RM1.4 juta dengan kapasiti 100kg pengeluaran Raw Unclean sebulan.

Selain majlis simbolik Perasmian Pesta Walet Beluran, lawatan Ziarah MAFI Prihatin dan NAFAS Prihatin turut diadakan ke rumah-rumah ahli di Kampung Muanad 1 dan Kampung Muanad 2, Kampung Sungai Nangka, Kampung Balaban Jaya dan Kampung Keramat.

MAFI melalui Lembaga Pertubuhan Peladang telah melengkapkan rantaian nilai industri walet melalui PPK Beluran dengan menyuntik penyaluran peruntukan pembangunan yang besar. Rantaian nilai industri walet yang dilaksanakan oleh PPK Beluran ialah penternakan burung walet, khidmat nasihat penternakan dan pemasaran burung walet, pusat belian hasil burung walet dan pusat pemprosesan burung walet.

LPP akan terus melaksanakan peranan sebagai agensi yang menggerakkan Pertubuhan Peladang untuk mempertingkat ekonomi dan sosial masyarakat tani dalam sektor agromakanan demi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia, sekali gus menjadikan sektor pertanian dan agromakanan sebagai salah satu jentera utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.