Kerajaan Malaysia mesti kecam, bantah sekeras-kerasnya tuntutan ke atas Sabah

142

Kenyataan Media Pakatan Harapan Sabah (PH)
 
KOTA KINABALU: Kerajaan Malaysia seharusnya mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Senator Francis Tolention bahawa Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) seharusnya merebut peluang untuk meneruskan tuntutan mereka terhadap Sabah.  Senator Tolention membuat kenyataan itu berikutan keputusan timbang tara yang dituntut oleh waris Sultan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia.
 
Senator Tolentino turut menyatakan bahawa seramai 750,000 rakyat Filipina hidup tanpa faedah kesihatan, keselamatan sosial dan tanpa kewarganegaraan ada di Sabah.  Kami yakin bahawa angka tersebut sebenarnya jauh lebih tinggi, walaubagaimanapun, jumlah 750,000 adalah masih sangat tinggi dan perkara ini seharusnya diambil serius oleh Kerajaan Malaysia.
 
Sekiranya kenyataan tersebut adalah benar, apakah tindakan kerajaan persekutuan untuk menangani perkara ini?  Memandangkan Senator Tolentino telah mengakui bahawa mereka adalah warga Filipina dan tanpa kewarganegaraan di Sabah, jelas menggambarkan bahawa golongan tersebut adalah pendatang tanpa izin yang harus dihantar pulang. Oleh itu, kerajaan Filipina mesti bersedia dan sanggup untuk menerima mereka kembali.
 
Kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang wakil rakyat Senat Filipina ini adalah amat berbahaya dan tindakan beliau untuk mencabar kedaulatan negara ini secara terbuka adalah satu ancaman terhadap kepada keselamatan Sabah dan rakyatnya.  Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kenyataan ini boleh mencetuskan kebencian dan kemarahan warga Filipina yang semakin meningkat terhadap kerajaan Malaysia dan Sabah kerana wujudnya dakwaan bahawa mereka yang berada di Sabah telah menerima layanan buruk dan dinafikan akses kepada kemudahan kesihatan dan faedah keselamatan sosial meskipun beranggapan bahawa Sabah adalah ‘milik’ Filipina?
 
Tuntutan berterusan terhadap Sabah adalah gambaran kegagalan berterusan kerajaan Malaysia untuk benar-benar memahami dan menyelesaikan secara tuntas kepada masalah kehadiran empat kategori pendatang Filipina di rantau ini yang semakin meruncing;  pelarian, orang tanpa kerakyatan, pendatang tanpa izin dan mereka yang telah memperoleh kad pengenalan Malaysia secara haram.
 
Baru-baru ini kita telah melihat keputusan timbang tara dibuat terhadap kerajaan Malaysia dan kini kita mempunyai seorang Senator secara terbuka menuntut kerajaannya untuk meneruskan tuntutan mereka kepada Sabah.  Berapa banyak lagi ancaman kepada Sabah dan rakyatnya harus dibuat supaya kerajaan persekutuan akan mengambil usaha yang serius untuk memutuskan penyelesaian yang komprehensif dan tegas terhadap masalah yang sekian lama dibiarkan berterusan ini?

Kenyataan bersama

Datuk Christina Liew
Pengerusi Pakatan Harapan Sabah
 
Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau
Presiden UPKO
 
Datuk Frankie Poon
Pengerusi DAP Sabah
 
Datuk Dr. Hj. Sangkar Rasam
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat Sabah
 
Sdr. Lahirul Latigu
Pengerusi AMANAH Sabah