Menanti Janji Kerajaan GRS Selesaikan Masalah Banjir di Penampang

KOTA KINABALU: Setiap kali hujan lebat melanda, warga Penampang sentiasa bimbang dan tidak senang duduk “kalau-kalau banjir kilat berlaku”.

Advertisements

Kebelakangan ini banjir kilat dilaporkan sering berlalu di Penampang yang pastinya akan menyebabkan pelbagai kesulitan kepada penduduk di situ.

Ini termasuk jalan menjadi sesak luar biasa, perniagaan terjejas dan banyak kenderaan rosak teruk.

Rata-rata warga Penampang sudah jelak dan bosan dengan masalah yang tidak berkesudahan itu dan mahu tindakan yang lebih konkrit diambil dengan segera.

Ramai juga yang mula mempersoalkan tentang usaha yang dilakukan oleh kerajaan GRS yang menurut mereka tidak memberikan sebarang kesan bagi mengatasi masalah tersebut.

Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Billy Joe Dominic berkata, kejadian banjir di Penampang semakin teruk dan kerap berlaku bukan sahaja mengakibatkan kerugian dan kerosakan harta benda tetapi juga menyusahkan penduduk kampung.

“Saya merasa amat sedih apabila melihat rakan-rakan dan saudara mara saya yang terkesan akibat banjir. Mereka mengalami kerugian dan kerosakan harta benda di kala kos sara hidup yang tinggi.

“Di mana sudah tebatan banjir yang dirancang oleh kerajaan untuk menangani masalah banjir di Penampang?,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.

Billy Joe berkata, pembinaan Pan Borneo juga menjadi sebahagian daripada penyumbang berlakunya banjir lumpur dan banjir kilat terutamanya di Kg.Kolopis dan sekitarnya.

Selain itu katanya, keadaan di Kg.Sugud amat teruk akibat banjir, pendalaman sungai yang dijanjikan oleh kerajaan tidak dilaksanakan sehingga hari ini.

“Adakah kerajaan menganak tirikan Penampang hanya kerana kawasan ini diwakili oleh pembangkang?

“Kita mahu kerajaan jelaskan status tebatan banjir dan kenapa banjir semakin kerap berlaku di Penampang. Tebatan banjir perlu menjadi keutamaan di Penampang dan pelaksanaannya harus dipercepatkan,” katanya.

Billy Joe turut minta kerajaan GRS melaksanakan segera pembaikan dan pendalaman sungai di Kg.Sugud yang terjejas teruk akibat banjir lumpur setahun lalu.

Sementara itu, seorang penduduk Kg.Kolopis berkata, sebelum Pan Borneo dilaksanakan, kejadian banjir di kampung itu tidak seteruk berbanding keadaan sekarang.

“Pada tahun 1999, berlaku banjir di kampung ini sebab hujan berterusan sehingga 10 jam tapi banjir tidak seteruk yang berlaku sekarang… asal hujan berterusan sehingga 3 jam banjir besar sudah di Kg.Kolopis.

“Sebelum Pan Borneo dilaksanakan, air banjir cepat surut, paling lama 8 jam, jalan raya boleh dilalui tapi sekarang dua atau tiga hari baru surut, bergantung kepada kedudukan jalanraya menyebabkan jalan Kg.Kolopis termasuk jalan Kambazan tidak dapat dilalui oleh penduduk kampung. Penduduk kampung yang bekerja dalam sektor awam dan swasta terpaksa mengambil cuti,” katanya.

Mereka juga mempersoalkan kenapa kerajaan sudah sedia maklum kawasan Penampang teruk dilanda banjir, namun masih lambat mengambil tindakan sewajarnya.

“Kerajaan sepatutnya mengambil tindakan segera bagi mengurangkan kesan banjir termasuk membina tebatan banjir, mendalamkan sungai dan parit,” katanya.

Katanya lagi, banjir lumpur berlaku setiap kali hujan. Minggu lalu sahaja (5 – 12 September) sudah dua kali banjir dan kali ini (14-15 September) banjir lagi.

“Isu banjir di Kg.Kolopis dan Penampang juga sering menjadi topik untuk pancing undi setiap kali pilihanraya namun setakat itu saja. Isu sebenar tiada juga tindakan,” katanya dengan nada kecewa.

Sumber – Nabalu News

Related Articles

253FansLike

Latest Articles