KOTA KINABALU: Aktivis Masyarakat Jaesman Gipin menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri Sabah menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Sabah.
Beliau yang merupakan pemimpin NGO pertama di Sabah membangkitkan isu tersebut, menyifatkan keputusan itu sebagai langkah berani ke arah mempertahankan kuasa autonomi imigresen selaras aspirasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya mengalu-alukan keputusan ini (tangguh pelaksanaan AKPS). Ini penting bagi memastikan hak autonomi imigresen negeri ini terus terpelihara seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Keputusan ini adalah satu kemenangan buat seluruh rakyat Sabah yang telah sekian lama menantikan keadilan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Jaesman yang juga bekas pegawai imigresen telah menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pindaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) yang bakal menyaksikan pengambilalihan kuasa kawalan pintu masuk sempadan Sabah oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia.
Beliau berpendapat pengambilalihan fungsi pintu masuk sempadan Sabah oleh agensi
persekutuan AKPS itu berisiko menghakis hak dan menjejaskan kuasa autonomi Imigresen Negeri Sabah.
Setiausaha Agung Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Willie Jude Junaidi turut membangkitkan isu yang sama dan menyeru kerajaan Sabah supaya memandang serius kebimbangan yang dibangkitkan Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) berhubung cadangan pelaksanaan AKPS.
Menurut Willie, Sabah mempunyai kedudukan istimewa dalam hal ehwal imigresen yang dilindungi di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan, justeru sebarang pelaksanaan dasar baharu perlu mengambil kira hak autonomi negeri secara menyeluruh.
