CI@UMS raikan Pesta Kuih Bulan Bersama Kanak-Kanak Tadika PML

 
KOTA KINABALU: Confucius Institute@UMS (CI@UMS) meraikan Pesta Kuih Bulan bersama 24 murid tadika Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, baru-baru ini.
 
Menurut kenyataan CI@UMS, ia antara lain bertujuan untuk memperkenalkan budaya masyarakat Cina kepada masyarakat lain sekali gus memupuk semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini khususnya di Sabah.    
 
“Tarikh 10 September 2022 merupakan Perayaan Kuih Bulan yang disambut oleh masyarakat Cina di seluruh dunia.
 
“Ia juga merupakan salah satu perayaan terpenting bagi Orang Cina di Sabah. Justeru pelbagai program telah diadakan melibatkan kanak-kanak tadika berumur 5-6 tahun di PML,” ujar kenyataan tersebut yang dikeluarkan di sini, hari ini.
 
Kenyataan itu memberitahu, sepanjang ia berlangsung kanak-kanak didedahkan dengan legenda Pesta Kuih Bulan dalam bentuk persembahan interaktif.
 
“Mereka diajar menyanyikan beberapa lagu kanak-kanak. Selain itu, guru tari telah mengajar kanak-kanak pelbagai gerakan tarian Cina yang mudah.
 
“Kemuncak program ini adalah makan kuih bulan bersama, diikuti dengan perarakan tanglung Cina,” jelas kenyataan itu lagi.
 
Sementara itu, Pengarah PML Dr. Suwaibah Zakaria berkata, penganjuran program tersebut amat wajar bagi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak berkaitan budaya etnik masyarakat majmuk di Malaysia.
 
“Adalah penting untuk kita dalam kepelbagaian kaum mengenali dan memahami budaya antara satu sama lain.
 
“Saya berasa gembira melihat semua kanak-kanak dari latar belakang budaya yang berbeza sama-sama belajar dan mengenali tentang Festival Kuih Bulan Cina.
 
“Saya berharap akan ada lagi aktiviti-aktiviti kebudayaan yang berbeza dengan kanak-kanak tadika PML pada masa hadapan,” katanya.
 
Hadir sama pada majlis itu Pengarah CI@UMS (Malaysia) Prof. Dr. Low Kok On, Pengarah CI@UMS (China) Prof. Madya Deng Rong dan guru-guru PML.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles