KOTA BELUD: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyantuni masyarakat Tionghua sempena Program Hari Malaysia dan Pesta Kuih Bulan, di sini malam ini.
Program tahunan anjuran bersama JPKK Kg Baru dan LG Tombol Kampung itu, antara lain bertujuan mengeratkan lagi perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan.
Pengerusi Penganjur yang juga Pengerusi JPKK Kg Baru-Tombol Puan Angela Teo Sieh Nee berkata program itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk memupuk semangat muhibah dan mengukuhkan perpaduan antara kaum tanpa mengira ideologi politik, agama, bangsa dan budaya.
Pesta Kuih Bulan juga dikenali sebagai Pesta Tanglung itu diserikan dengan perarakan tanglung kanak-kanak dan tarian baris berkumpulan (line dance) di kalangan ibu-ibu dari kampung Tombol.
Pada majlis itu, Salleh telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang perarakan kanak-kanak membawa tanglung dengan mengikut pakaian bertemakan Hari Malaysia.
Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September tidak kurang pentingnya dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang perlu dijiwai oleh seluruh rakyat.
Sejarah penubuhan Malaysia penuh konflik malah sehingga sekarang masih kedengaran suara-suara rakyat Sabah yang terus memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sebahagian besar tuntutan itu sudah dipenuhi dan yang terbaharu iaitu pada 14 Nov tahun lepas pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan di Dewan Rakyat.
Pindaan ini memberi pengiktirafan kepada tuntutan dan status istimewa Sabah dan Sarawak apabila menyertai Malaysia.