KRPPM mengenai Pendanaan Politik seru Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berbilang Parti jalankan semakan menyeluruh dan inklusif terhadap RUU Pendanaan Politik

KUALA LUMPUR: Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik gembira dengan komitmen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) YB Dato’ Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik sewaktu sidang Parlimen bulan Oktober nanti.
Namun, memandangkan sidang Parlimen telah diawalkan ke 7 Oktober, adalah penting bahawa perbincangan mengenai kandungan rang undang-undang ini dilakukan dengan teliti, dengan Ahli-ahli Parlimen diberikan masa yang mencukupi untuk mempertimbangkan dan memberikan cadangan penambahbaikan terhadap RUU Pendanaan Politik.
“Amat penting untuk kita sedari bahawa keperluan dan kebimbangan setiap parti mengenai pendanaan politik adalah berbeza. Perbezaan ini harus dibincangkan secara terbuka dan diambil kira untuk memastikan RUU ini adil kepada semua parti politik. Amat penting juga untuk Ahli Parlimen diberi peluang untuk menerima nasihat dan input daripada pakar dan pemegang taruh. Contoh terkini Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang ditubuhkan untuk mempertimbangkan RUU Anti Lompat Parti adalah satu contoh positif dan perlu dilakukan juga untuk Pendanaan Politik. Memperkenalkan satu RUU sepenting ini tidak sehaurusnya dilakukan dengan terburu- buru dan pertimbangan yang melibatkan semua pihak merupakan satu keperluan”, ulas YB Ahmad Fadhli, Pengerusi KRPPM mengenai Pendanaan Politik.
Sambung YB Ahmad Fadhli, “Oleh itu, KRPPM mengenai Pendanaan Politik ingin menyeru kerajaan untuk bersetuju menggubal satu RUU Pendanaan Politik yang mengambil yang terbaik daripada kedua-dua RUU yang disediakan oleh Jabatan Peguam negara dan KRPPM ini, berbanding tergesa-gesa membentangkan RUU oleh Jabatan Peguam Negara dalam sidang Dewan Rakyat pada bulan Oktober – November.”
“Draf RUU yang disediakan oleh KRPPM ini telah dikemukakan sebagai satu Rang Undang- Undang Persendirian kepada Dewan Rakyat pada 13 Julai 2022. Kami berharap beberapa aspek daripada RUU kami ini akan dipertimbangkan oleh pihak kerajaan, termasuk elemen penting berkenaan pendanaan awam untuk parti politik, malah kami bersedia untuk menyumbang kepada proses merangka perundangan yang penting ini yang akan memberi impak ketara terhadap demokrasi Malaysia,” kata YB Ahmad Fadhli.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS (Sekretariat kepada KRPPM mengenai Pendanaan Politik) Dr Tricia Yeoh, berkata, “Kami memahami bahawa Menteri Undang-Undang Dato’ Seri Wan Junaidi telah memberikan komitmen beliau untuk mengadakan rundingan dengan pertubuhan masyarakat sivil dan semua parti politik sebagai sebahagian daripada proses menggubal RUU, dan hal ini amat dialu-alukan. Daripada perspektif pertubuhan masyarakat sivil dan badan pemikir, kami juga percaya bahawa satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berbilang parti merupakan kaedah terbaik untuk menjalankan semakan terhadap draf RUU kerajaan. Kami berharap untuk melihat proses ini dibawa ke sidang Parlimen yang akan datang. Akhir sekali, kami juga berharap untuk melihat ahli dan parti politik kedua-dua belah pihak menyokong penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini.”

Related Articles

253FansLike

Latest Articles