Parlimen Pensiangan bakal menjadi medan “Pertempuran Politik” sengit dalam PRU15

KENINGAU: Suatu ketika dahulu, Pensiangan pernah menjadi medan pertempuran dahsyat antara pahlawan Murut Antanom dan tentera penjajah Syarikat Borneo Utara British.

Advertisements

Suasana gempar seumpama itu dijangka berulang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bakal menjadi medan “pertempuran politik” sengit antara parti-parti politik yang akan bertanding khususnya antara Barisan Nasional (BN)dan STAR.

Menurut pemerhati politik akar umbi di kawasan itu, timbalan presiden PBRS Arthur Kurup yang dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Pensiangan atas tiket BN bakal berdepan tentangan hebat calon STAR, PKR-PH, Warisan dan parti-parti pembangkang yang lain.

Antara nama-nama pencabar utama yang disebut-sebut ialah Jordan Jude Ellron dan Ellron sendiri mewakili STAR,Raymond Ahuar yang menjadi sandaran PKR-PH dan naib ketua wirawati Warisan Malaysia Siti Noorhasmawati.

Setakat ini, belum ada petanda yang membayangkan, PBS dan parti KDM meletakkan calon di Parlimen Pensiangan.

Namun, pemerhati politik meramalkan jika KDM memutuskan untuk bertanding, parti itu berkemungkinan akan menyandarkan harapan kepada bekas bintang bolasepak Sabah Jackrison Kilan.


Rata-rata penyokong akar umbi berpendapat saingan utama PRU15 bagi kawasan Pensiangan tertumpu kepada BN dan STAR.

Ini kerana, menurut mereka, Arthur Kurup yang kini anggota Parlimen Pensiangan dan timbalan menteri persekutuan memiliki kekuatan tersendiri serta ditambah pula kekuatan jentera Umno yang juga mempunyai ramai penyokong di situ.

Atas kertas, STAR juga dikatakan berada di posisi yang boleh melakukan kejutan berdasarkan keputusan pilihan raya negeri (PRN) yang lepas.

Dalam PRN yang lepas, STAR menang kerusi DUN Sook dan Tulid manakala DUN Nabawan menjadi milik Bersatu yang juga rakan STAR dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pemerhati politik berpendapat walaupun dalam perkiraan kertas, BN dan STAR adalah favorit untuk menang namun dengan pelbagai isu yang menyelubungi arena politik negara dan kemungkinan perpecahan undi, parti-parti lain termasuk KDM, PH dan Warisan masih berupaya melakukan kejutan.

“Selaras dengan prinsip demokrasi parti KDM yang baharu ditubuhkan pimpinan Datuk Peter Anthony wajar bertanding di Parlimen Pensiangan.

“Apapun terpulang kepada keputusan pimpinan KDM,” kata pemerhati politik Edward Kandok.


Edward Kandok

Bagi pemimpin muda Jordan yang kini berusia 26 tahun, beliau bersedia untuk menggalas amanah bertanding atas tiket STAR pada PRU15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

“Ya, saya sedia bertanding jika dipilih sebagai calon oleh pucuk pimpinan STAR,” katanya ketika ditanya mengenai saingan PRU15 untuk Parlimen Pensiangan.

Jordan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan turut menggariskan misi dan visinya untuk rakyat Pensiangan yang merangkumi pelbagai aspek.

Ini termasuk aspek komunikasi antara akar umbi dan pemimpin, kemudahan sekolah, memperkenalkan pertanian moden, membantu rumah ibadat, menganjurkan sukan, memantapkan kerjasama wakil rakyat DUN dan memperhebatkan program wanita termasuk ibu tunggal.

Selain itu, Jordan bertekad menubuhkan Pasukan Gerak Khas Pejabat Khidmat Parlimen, menyokong graduasi muda yang ada kaitan kemasukan ke universiti, teknik dan kemahiran serta memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur, termasuk jalan raya dan jambatan di kawasan Pensiangan.

Seperti juga semangat juang yang ditunjukkan oleh pahlawan Antanom semasa zaman penjajah, calon-calon yang bertanding bagi Parlimen Pensiangan dalam PRU15 perlu berjuang habis-habisan untuk mengecapi kejayaan dalam arena politik yang sukar diramal serta memerlukan “kecerdikan” atau gula-gula politik untuk memenangi hati rakyat.

Setakat ini, pemerhati politik yakin semua calon parti masing-masing mempunyai peluang 50-50 untuk menang, terutama apabila berlaku perpecahan undi. Sangat menarik Aramati!!

Related Articles

253FansLike

Latest Articles