HUMS beri latihan DBT kepada 30 guru di Kudat  

KOTA KINABALU: Seramai 30 guru kaunseling sekolah menengah dan sekolah rendah di Kudat menerima latihan Terapi Tingkah Laku Dialektikal (DBT) daripada Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), baru-baru ini.
 
Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi HUMS Dr Nicholas Pang berkata, latihan itu diberikan bersempena Program KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS), sebuah program di bawah inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama UMS.
 
“DBT merupakan intervensi psikologi yang mempunyai keberkesanan saintifik bagi mengurangkan pemikiran ingin membunuh atau mencederakan diri sendiri.
 
“Ia bagi membendung masalah kesihatan mental terutamanya dalam kalangan remaja atau pelajar sekolah yang merupakan salah satu kumpulan berisiko tinggi,” katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.
 
Menurut Nicholas, HUMS percaya bahawa kelestarian adalah asas kepada perkhidmatan kesihatan yang berkesan.
 
“Justeru, usaha untuk memindahkan pengetahuan (knowledge trasnfer) dari HUMS kepada guru-guru kaunseling di Kudat ini mampu memperkasakan mereka untuk memberi intervensi kepada pelajar di sekolah masing-masing.
 
“Sebelum ini, intervensi hanya boleh dilakukan di hospital yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini.
 
“Namun, DBT yang berpusatkan sekolah adalah jauh lebih lestari berbanding DBT berpusatkan HUMS atau hospital-hospital lain. Ia diharapkan dapat memainkan peranan sebagai “pencegahan primer” untuk para remaja di daerah berkenaan,” katanya.
 
Ujar Nicholas, ia secara tidak langsung turut meningkatkan taraf kesihatan mental di seluruh daerah Kudat serta mampu menangani pandemik kesihatan mental yang kini melanda seluruh sekolah di Malaysia.
 
“Untuk makluman, kesemua guru yang terlibat dilatih dalam kemahiran DBT secara dalam talian selama lima sesi berturut-turut.
 
“Latihan ini turut melibatkan pensyarah jemputan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Melissa Hadi.”
 
Sementara itu, Nicholas turut memaklumkan bahawa HUMS berkolaborasi dengan Monash Universiti Melbourne cawangan Kuala Lumpur untuk mengadaptasi intervensi DBT kepada kebudayaan serta diterjemah ke bahasa Melayu.
 
“Ini merupakan satu projek jangka waktu panjang yang melibatkan penterjemahan semua bahan intervensi serta skrip dialog intervensi.
 
“Ia juga merangkumi, uji cuba dalam kumpulan sasaran serta penganjuran program Training of Trainers,” katanya.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles