KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai melontarkan idea perlunya wujud satu gagasan petugas media di negara ini yang beliau namakan sebagai Gabungan Setia Kawan Media Malaysia.
Beliau berkata ini penting bagi memperkasakan lagi keakraban pengamal media di seluruh negara sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia.
“Saya fikir sudah tiba masanya petugas media termasuk wartawan dan jurufoto bergabung dalam satu platform yang mungkin boleh kita namakan sebagai Gabungan Setia Kawan.
“Kita mahu petugas media dari Sabah, Sarawak dan Malaya bersatu dan bekerjasama dalam ertinya kata sebenarnya selaras dengan semangat perjanjian Malaysia. Kita adalah satu…kita satu Malaysia,” katanya.
Joniston yang juga bekas presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) berkata demikian ketika berucap pada majils penutupan dan penyampaian hadiah sempena Program Lawatan Muhibah dan Sukan Media Malaysia di sini pada Ahad.
Turut hadir Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Datuk Ahirudin Attan.
Joniston turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penaja dan peserta, terutama AJK penganjur yang bertungkus lumus menjayakan program itu dengan hanya notis singkat.
“Semoga petugas media semua berjumpa lagi di lain masa,” katanya.
Sementara itu, Ahirudin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sabah, khususnya Lembaga Penggalakan Pelancongan Sabah dibawah pimpinan Joniston yang berjaya menganjurkan program tersebut dengan baik dan teratur.
“Banyak memori indah yang kami lalui semasa berada di Sabah…kami di NPC akan cuba melakukan yang terbaik untuk menganjurkan program Lawatan Muhibah dan Sukan Media Malaysia yang akan datang,” katanya.
Program Lawatan Muhibah dan Sukan Media yang dihoskan Sabah itu disertai 39 petugas media mewakili NPC, Kuala Lumpur, empat dari Kelab Akhbar Pulau Pinang dan tujuh pengamal media dari Sarawak.
Selain acara sukan termasuk bowling dan bola sepak, rombongan petugas media turut diberikan taklimat pembangunan Sabah dan menyertai aktiviti berakit di Kiulu, salah satu destinasi eko pelancongan luar bandar popular di Sabah.
NPC muncul juara keseluruhan Sukan Media Malaysia kali ini, yang turut disertai pasukan bowling BERNAMA.