KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyatakan di sidang DUN Sabah hari ini bahawa Sabah mestilah bebas daripada sebarang tuntutan mana-mana pihak supaya pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu telah membawa tuntutan mereka ke atas Sabah sehingga ke Sepanyol dan Perancis. Keputusan arbitrati awal tahun ini yang memihak kepada mereka dan berita mengenai pengambil-alihan aset Petronas oleh mereka merupakan satu gangguan.
“Untuk Kerajaan Sabah meneruskan pembangunan dan melaksanalam belanjawan-belanjawan tahunan dan tambahan, tidak harus ada gangguan seperti tuntutan Sulu. Saya tahu Ketua Menteri telah mengeluarkan kenyataan tidak mengiktiraf tuntutan Sulu dan kita semua menyokong.
“Itu sebabnya saya mencadangkan agar satu resolusi dimuktamadkan di Dewan ini agar kita tidak mengiktiraf tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah dan menolak keputusan arbitrari awal tahun ini yang dibuat di Perancis. Saya percaya kesemua 78 orang ADUN yang ada dalam Dewan ini bersetuju dengan usul ini jika dibentangkan,” katanya.