Pemuda UPKO mahu Madius pertahankan kerusi Parlimen Tuaran

 

TUARAN: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Tuaran berpendapat Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau yang telah memainkan peranan penting merealisasikan pembinaan jalanraya
Telipok – Kiulu – Rondogung Ranau masih merupakan pilihan terbaik buat warga Parlimen Tuaran pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Advertisements

Sehubungan itu, pemuda UPKO Tuaran
menyokong penuh agar Presiden UPKO itu mempertahankan kerusi Parlimen P170 Tuaran pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pemuda UPKO Tuaran, Rayner Ebi berkata, pemuda turut menyokong agar Madius terus menerajui kepimpinan sebagai Ketua Bahagian UPKO Tuaran pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan UPKO di sini yang dijadualkan berlangsung pada 24 Julai ini.

“Kita telah melihat track record Datuk Seri yang sentiasa dekat di hati rakyat bukan sahaja dalam pelayanan di peringkat kawasan malah dalam perjuangan untuk membela rakyat berbilang bangsa dan agama di Sabah khususnya di Tuaran.

“Beliau sentiasa memperjuangkan masalah-masalah yang dihadapi kepada pihak berwajib merangkumi semua aspek termasuk masalah pendatang tanpa izin, bidang pendidikan, insfrastuktur dan aspek kesihatan.

“Tanpa usaha Datuk Seri, tidak mungkin jalan raya Telipok – Kiulu – Rondogung Ranau yang ada pada hari ini mampu direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Rayner berkata, kelantangan Madius dalam menyuarakan isu-isu secara konsisten di Persidangan Dewan Rakyat juga menjadikan anak kelahiran Kampung Lokos Kiulu itu terus relevan sebagai wakil rakyat yang perlu disokong pelbagai pihak.

“Kerajaan memerintah silih berganti, namun DSP Madius tidak pernah gagal dalam memperjuangkan isu-isu yang sentiasa menjadi duri dalam daging kepada rakyat Sabah.

“Isu kemiskinan, isu salah guna kuasa, isu PTI, isu hak-hak Sabah dalam perjanjian MA63, dan yang sentiasa hangat iaitu isu pemberian kad pengenalan secara rasuah kepada warga asing.

“Malah ketika bersama dengan kerajaan BN dahulu, beliau turut dilabel sebagai pembangkang dalam kerajaan atas kelantangan bersuara dalam hal ini,” tegas Rayner.

Justeru itu, katanya, pemuda UPKO Tuaran tekad setia berdiri teguh di belakang kepimpinan DSP Madius untuk terus mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran pada PRU15 nanti.

“Bagi pemuda UPKO Tuaran, pemimpin yang berani menegakkan kebenaran adalah pemimpin yang patut disanjung.

“Pemimpin yang berjuang untuk keadilan dan hak-hak rakyat Sabah perlu terus disokong, agar kita sebagai rakyat Sabah, kita sebagai orang asal di kawasan Tuaran sentiasa mendapat pembelaan dan tidak sewenang-wenangnya ditindas,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles