MAFI sentiasa berwaspada aktiviti import dan eksport produk pertanian pastikan biosekuriti negara terjamin

 

SEPANG: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sentiasa berwaspada serta peka terhadap aktiviti import dan eksport produk pertanian bagi memastikan biosekuriti negara terjamin.

Advertisements

Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ini bagi memastikan rakyat sentiasa menikmati produk hasilan pertanian dan makanan yang selamat untuk dimakan, bersih, halal dan bebas dari segala penyakit dan perosak serta melindungi industri pertanian negara.

Katanya sehingga Jun 2022 kemasukan di pintu masuk KLIA Kargo adalah sebanyak 14,400 transaksi dimana secara purata KLIA Kargo menerima kemasukan 13,500 tan metrik produk pertanian bernilai RM392 juta setiap bulan.

Beberapa inisiatif semasa bagi memudahcara prosedur pengimportan bahan makanan ke dalam negara juga telah dilaksanakan seperti penangguhan fi import permit ke atas beberapa komoditi makanan seperti jagung, soya, gandum, ayam bulat dan komoditi asas makanan ternakan, katanya pada satu kenyataan sempena lawatan kerja di Kompleks KLIA Kargo di sini.

Lawatan kerja ini bagi melihat sendiri aktiviti pengoperasian pengimportan dan pengeksportan hasilan pertanian negara.

KLIA Kargo merupakan salah satu daripada 57 pintu masuk produk pertanian negara dan merupakan pintu masuk utama bagi komoditi bunga segar, produk tenusu, benih ikan dan lain lain.

Ronald berkata selain itu, MAQIS juga telah melaksanakan proses kemasukan pantas 24 jam di pintu-pintu masuk negara bagi komoditi makanan tersebut, dalam usaha melancarkan proses pengimportan dan sekaligus mengurangkan kos logistik yang terlibat dalam aktiviti pengimportan.

Katanya dari segi impak proses kemasukan pantas di pintu-pintu masuk negara, secara keseluruhan inisistif ini membantu 380 syarikat yang berdaftar sebagai pengimport produk makanan haiwan bagi melancarkan proses pengimportan.

Katanya sehingga kini, sejumlah 490 konsainan bijirin dan makanan haiwan dengan kuantiti sebanyak 173,000 tan metrik bernilai RM 483 juta telah mendapat manfaat dari proses kemasukan pantas di pintu-pintu masuk negara.

“Terdapat peningkatan kemasukan jumlah ayam bulat yang diimport ke dalam negara sebanyak kira-kira 80% sejak inisiatif seperti pemansuhan AP import dan penangguhan fi permit dilaksanakan.

“Ini dapat dilihat dari peningkatan jumlah import pada bulan Mei 2022 sebanyak 258 tan metrik berbanding 471 tan metrik pada bulan Jun 2022. Kemasukan keratan ayam juga telah meningkat sebanyak 30% daripada 7,800 tan metrik kepada 10,200 tan metrik setelah inisiatif diperkenalkan,” ujar beliau.

Di samping itu, beliau berkata pihak MAQIS KLIA Kargo telah merekodkan penurunan jumlah kes penahanan yang melibatkan cubaan membawa masuk dan keluar hasilan agromakanan tanpa permit iaitu 17 kes sehingga 30 Jun 2022 dengan nilai anggaran tahanan berjumlah RM659,000 berbanding 41 kes pada tahun 2021 dengan nilai tahanan RM1.9 juta.

Pada masa yang sama, Ronald berkata MAQIS bersama-sama pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sentiasa proaktif bagi memastikan semua loji pemprosesan luar negara yang diiktiraf sentiasa dikemaskini.

Katanya MAFI melalui DVS telah melaksanakan inisiatif melaksanakan pengiktirafan loji-loji sembelihan baharu di negara pengeksport bagi memastikan sumber bekalan seperti daging lembu, kerbau dan ayam dapat dipelbagaikan.

Tambah beliau lagi, jumlah loji sedia ada yang telah diiktiraf sebanyak 216 dari 26 buah negara telah dipertingkatkan kepada 227 loji melalui pertambahan 11 loji baharu terdiri daripada dari loji dari negara pengeksport Thailand, India dan Pakistan.

Pertambahan sebanyak 11 loji ini akan dapat membantu memastikan jumlah bekalan yang sentiasa terjamin dan dapat menstabilkan harga pasaran daging terutamanya daging import dari negara India, katanya.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas abattoir dan loji pemprosesan di Brazil, Argentina, Ireland dan Korea juga telah dijalankan dari bulan Mei hingga Julai 2022.

“MAFI akan terus berusaha untuk meningkatkan loji-loji luar negara yang layak dan menepati piawaian bagi memastikan tiada sebarang unsur monopoli dan manipulasi pasaran serta dapat mengalakkan persaingan sihat yang dapat menawarkan harga yang murah kepada rakyat sekaligus memastikan kelangsungan bekalan yang berterusan,” kata Dr Ronald.

Ronald menambah Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negara juga secara dasar telah bersetuju dengan pewujudan Pusat Sehenti Kuarantin Negara (One Stop Quarantine Centre – OSQC) di pintu masuk utama pengimportan dan pengeksportan hasil pertanian dan agromakanan negara bagi memperkukuhkan kawalan biosekuriti.

Katanya OSQC akan menyediakan fasiliti kuarantin dan keselamatan agromakanan yang bersepadu termasuk pemeriksaan, rawatan kuarantin, pengujian, penyelidikan, pemantauan dan pelupusan ke atas komoditi pertanian dan produk agromakanan.

Selain itu, beliau berkata penggunaan teknologi tinggi, automasi, moden dan standard akan membantu memastikan matlamat kawalan biosekuriti tercapai dan meningkatkan perdagangan di pintu masuk negara.

Ronald berkata MAFI melalui MAQIS sebagai benteng utama bagi menjaga jaminan bekalan dan keselamatan makanan khususnya keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara akan terus tegas menguatkuasakan perlaksanaan undang-undang negara.

Katanya ini bagi memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak atau penyakit merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal di semua pintu masuk negara demi jaminan sekuriti makanan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Turut hadir dalam tinjauan ini, Ketua Pengarah MAQIS Shamsul Akbar Sulaiman dan Pengarah MAQIS Negeri Selangor Mohd Sobri Md Hashim.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles