PENAMPANG: Bekas ketua menteri, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Ongkili sebagai pemimpin yang tidak mengenang budi kerana menyerang Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.
Memetik laporan portal berita FMT, Salleh berkata dakwaan Ongkili yang mengatakan terdapat parti komponen BN menggunakan “perkhidmatan” pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk kepentingan politik adalah fitnah semata-mata.
“Saya marah betul (apabila) baca surat khabar ini. Maximus Ongkili, gila dia ini kerana buat kenyataan kononnya parti dalam BN ada pengundi palsu, kad pengenalan palsu,” katanya.
Salleh yang juga Adun Usukan berkata demikian ketika berucap dalam forum politik dan ekonomi Sabah sempena Konvensyen BN di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC), dekat sini hari ini.
Beliau yang juga pengerusi Kelab Penyokong BN-Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengingatkan Maximus bahawa pengundi BN di Kota Marudu yang menyokongnya dalam pilihan raya lalu.
“Dia tidak kenang budi, jangan emosi dan kalau pun main politik jangan sedemikian, tapi hari ini dia kata BN lah paling jahat.
“Dia (Maximus) dalam Kabinet, dia tidak tahukah siapa perdana menteri? Perdana menteri itu daripada BN,” katanya.
Kelmarin, Presiden PBS, Maximus Ongkili dilaporkan mendakwa sebuah parti komponen BN menyalahgunakan Pati di Sabah demi kepentingan politik mereka.
Sumber FMT