KOTA BELUD: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berpendapat sudah tiba masanya Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) tampil ke depan membantu usaha menangani masalah murid yang tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Beliau berkata langkah itu penting kerana Sabah merupakan antara negeri tertinggi mengalami masalah murid gagal menguasai kemahiran 3M terutama membabitkan murid Tahun Satu dan Tahun Dua di kawasan luar bandar.
Katanya data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan sebanyak 180 sekolah melibatkan hampir 12,000 murid mengalami masalah tidak menguasai 3M di negeri ini.
“Saya melihat pentingnya peranan PIBG di sekolah dalam membantu memantau dan menilai tahap kefahaman pelajar terhadap matapelajaran yang diajar.
“Dalam hal ini, saya menyarankan setiap ahli jawatankuasa PIBG dilantik menjadi mentor untuk setiap tahap, khususnya di peringkat sekolah rendah,” katanya.
Salleh yang juga Adun Usukan berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung PIBG SK Suang Punggor ke-20, di sini hari ini.
Beliau berkata konsep mentor-mentee antara ibu bapa, guru dan AJK PIBG yang dilantik sebagai pemantau penting bagi memastikan keberkesanan pendidikan, termasuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), sekali gus berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan.
“Saya menyeru kepada semua ibubapa agar sentiasa menyokong dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak sekolah.
“Pada AJK yang baru dilantik (di sekolah ini) anda adalah pemegang amanah untuk memastikan hubungan baik dan kejayaan anak anak menjadi kenyataan,” katanya.