BELURAN: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee hari ini turun padang bagi menjayakan Majlis Penyerahan Elaun Sara Hidup Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan Beluran
Pemberian bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) berjumlah RM300 yang diberikan setiap bulan kepada nelayan itu menunjukkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan Persekutuan melalui LKIM dalam memainkan peranannya dalam menjaga kebajikan serta memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan.
Kadar ESHN juga telah ditingkatkan oleh Kerajaan bermula Januari 2021, iaitu daripada RM 250 kepada RM300 sebulan. Ini adalah manifestasi dan bukti keprihatinan Kerajaan terhadap golongan nelayan.
“Kerajaan mengolahkan pelbagai program prihatin nelayan seperti membaiki perumahan nelayan, infrastruktur asas rumah perhubungan jambatan, Elaun Sara Hidup Nelayan dipastikan sampai serta program bantuan peralatan perikanan diteruskan untuk memastikan kelangsungan bekalan makanan negara,” ujar Dr Ronald.
Di Negeri Sabah, sebanyak RM22 juta disalurkan pada tahun ini bagi tujuan bantuan ESHN kepada 7,671 penerima/nelayan. Bagi ahli-ahli PNK Beluran, seramai 619 orang/nelayan adalah penerima ESHN yang melibatkan peruntukan RM176 ribu yang akan menerima secara tunai pada hari ini yang akan disampaikan oleh Menteri MAFI.
Pemberian ESHN merupakan program bantuan dalam bentuk kewangan yang diberikan setiap bulan kepada pemilik vessel/bot perikanan dan pekerja (awak-awak) yang layak. Nelayan yang layak dipertimbangkan untuk bayaran ESHN adalah nelayan warganegara Malaysia yang mempunyai lesen vessel/bot yang sah, berusia 18 tahun ke atas serta golongan kategori pemilik vessel/bot perikanan Zon A sahaja dan awak – awak Zon A, B, C dan C2.
Dalam majlis ini juga, Dr. Ronald turut menyerahkan ‘Mock Cheque’ bantuan bangunan baharu Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran dengan peruntukan sebanyak RM528 ribu.
Dr Ronald berkata melalui PNK Beluran dan PNK baharu di Sugut yang bakal diwujudkan nanti, diharap lebih ramai nelayan didaftar sebagai ahli untuk memperoleh bantuan Kerajaan seperti permohonan lesen perahu dan lesen perikanan.
Kerajaan melalui MAFI dan LKIM akan terus menjaga kebajikan serta memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi golongan nelayan yang merupakan antara barisan hadapan penting dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan negara.
Turut hadir dalam majlis ini, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Labuk, YB Tuan Samad bin Jambri, Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Petubuhan Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, YBrs. Encik Hamdan Mamat, Pengarah LKIM Sabah, YBrs. Encik Mohd Jamil bin Abdullah dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran, Encik Uting @ Rahman Uting bin Pengiran Sulaiman.
Ronald turun padang jayakan majlis penyerahan elaun sara hidup nelayan Parlimen Beluran
Advertisements