UMS-Cankiri Karatekin University, Turkiye tandatangan MoU taja program mobiliti bernilai RM125,000

 
CANCIRI: Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Cankiri Karatekin University, Turkiye membabitkan penajaan program mobiliti bernilai kira-kira RM125,000.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, jumlah tajaan di bawah geran Erasmus itu melibatkan mobiliti pelajar, penyelidik dan kakitangan pentadbiran di antara kedua-dua universiti.
“Tiga pelajar UMS berada di universiti ini selama satu semester, manakala seramai enam ahli akademik dan staf pentadbiran UMS mengajar dan menjalani latihan selama lima hari di sini.
“Sementara itu, pihak Cankiri Karatekin University pula menghantar seramai 10 ahli akademik untuk mengajar dan berkongsi ilmu di UMS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi media selepas Majlis Menandatangani MoU UMS- Cankiri Karatekin University, di sini hari ini.
Perjanjian berkenaan ditandatangani Taufiq, manakala Cankiri diwakili Rektor, Prof. Dr. Harun Çiftçi.
Ia disaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail dan Timbalan Rector Cankiri Karatekin University, Prof. Dr. Hüseyin Odabaş.
Turut hadir, Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim; Ketua Pejabat Hubungan Antarabangsa Canciri, Dr. Şuayip Turan; dan Timbalan Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG), Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din.
Menurut Taufiq, penajaan program mobiliti dalam perjanjian MoU itu diperolehi pihak Cankiri Karatekin University dibawah geran Erasmus untuk tahun 2022.
“Perjanjian kerjasama ini diharapkan menjadi pemangkin kepada jalinan kolaborasi yang lebih meluas pada masa akan datang terutamanya dalam aspek penyelidikan dan penerbitan.
“Semoga kerjasama ini juga akan meningkatkan keterlihatan jenama UMS, termasuk mendapatkan pasaran baharu daripada negara Turkiye selain dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti program mobiliti inbound dan outbound universiti,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles