KIMANIS: Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin membayangkan kemungkinan ‘akan ada ADUN bebas lain menyertai parti itu’.
“Insya-Allah, akan ada. Ia akan memperkukuh BN-UMNO dan tujuan kita untuk memantapkan parti dan membangunkan negeri Sabah,” katanya.
Bung Moktar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Rumah Terbuka Aidilfitri kediaman Timbalan Menteri Pendidikan II merangkap Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin pada Ahad.
Sebelum itu, beliau mengesahkan telah menerima permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob menyertai BN-UMNO.
Bung Moktar berkata, permohonan itu dihantar Yusof kepada pihaknya pada bulan lepas.
“Pada hakikatnya kira sudah terima kemasukan beliau dan hanya tinggal menunggu kita membuatnya secara rasmi.
“Saya akan buat mesyuarat dulu di peringkat perhubungan UMNO negeri dan kita akan menyokong kemasukan beliau,” katanya.
Bung Moktar turut mengesahkan telah menerima penyertaan memasuki BN dari lapan orang bekas ketua penerangan Parti Warisan Sabah (WARISAN).