Penguasaan Pelbagai Bahasa Tingkatkan Kebolehpasaran Kerja – Jahid

TAMPARULI: Penguasaan yang baik dalam pelbagai bahasa berupaya meningkatkan kebolehpasaran seseorang sekali gus membuka peluang kerjaya di dalam atau luar negara.

Advertisements

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, dalam mendepani era globalisasi ini, kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan satu kelebihan bagi meningkatkan daya saing hingga ke peringkat global.

“Sering kali menjadi halangan kepada pelajar Bumiputera di pusat pengajian tinggi adalah untuk menghasilkan kajian serta bahan ilmiah yang berkualiti, hanya kerana masalah penguasaan bahasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program English For Employability Level 1 Tajaan Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (KSTI), di Dewan Muhibbah Kampung Kosusu Kionsom, dekat sini pada Ahad.

Turut hadir Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kosusu Kionsom, Jamuni Mandakal, Pengerusi JPKK Kampung Topokon, Mary Martin, Ketua Kampung Kosusu Kionsom, Sopioh Ombon, dan tenaga pengajar, Evhytra Jilias.

Katanya, memiliki kemahiran bahasa Inggeris yang baik sama ada mendengar, bercakap, membaca atau menulis adalah penting sejajar dengan usaha kerajaan untuk membangunkan modal insan di negara ini.

“Kursus seumpama ini pastinya akan memberi keyakinan kepada para peserta untuk berurusan, apatah lagi jika berpeluang bekerja atau melanjutkan pelajaran ke luar negara kelak,” katanya.

“Tahniah kepada semua peserta kerana telah sanggup berkorban masa selama empat jam sehari, semata-mata untuk mendalami ilmu bahasa Inggeris, dan memberi sambutan yang sangat memberangsangkan.

Justeru, beliau menyeru kepada semua remaja belia yang hadir agar menggunakan segala ilmu yang diperolehi mereka sebaik mungkin.

“Betapa pentingnya kita mempunyai ilmu dan kemahiran sebelum menempuhi alam pekerjaan,” katanya.

Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, memuji JPKK di kampung itu yang telah menjaga dan memelihara sepenuhnya dewan mereka untuk kegunaan bermanfaat selain turut ‘dimasyarakatkan’ kepada penduduk kampung mengadakan majlis keramaian.

Terdahulu, Pengerusi e-Desa Topokon, Yatimah Razimin, menghargai sumbangan dan sokongan semua pihak bagi menjayakan kursus tersebut.

Ujar beliau, hasil penilaian yang dibuat oleh tenaga pengajar mendapati bahawa tahap penguasaan peserta kursus sepanjang sesi adalah sebanyak 99 peratus.

“JPKK Kampung Kionsom merupakan antara badan kepimpinan terbaik yang sanggup meluangkan masa dan komitmen bagi memastikan kursus ini berjalan dengan baik,” puji beliau.

Dalam pada itu, Pengerusi JPKK Kampung Kosusu Kionsom, Jamuni Mandakal, menghargai pihak KSTI menerusi e-Desa Topokon kerana telah memilih Kampung Kionsom sebagai lokasi mengadakan program berkenaan.

Wakil peserta, Sherly Beldom, berkata, selain membantu dalam meningkatkan pengetahuan dan keyakinan diri, kursus seumpama itu juga membantu mereka dari segi kemahiran menulis dan bertutur.

Seramai 25 peserta telah menamatkan kursus itu yang merangkumi sebanyak 25 sesi pembelajaran, di bawah kelolaan Pusat e-Desa Topokon.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles