Segera Bina Semula Jambatan Konkrit Kg Mendulong – Sani

SIPITANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi digesa segera membina semula jambatan konkrit Kampung Mendulong yang musnah disebabkan musibah banjir pada akhir tahun lalu (2021).

Advertisements

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, Encik Sani Miasin berkata, jambatan itu yang menyeberangi Sungai Muaya, Sipitang musnah dihanyut arus deras semasa banjir besar melanda daerah Sipitang.

Beliau berkata, jambatan itu digunakan oleh penduduk kampung untuk menjalankan akitiviti harian terutama pertanian, selain menghantar anak-anak ke sekolah terutama penduduk kampung yang tinggal di seberang sungai dan perumahan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Menurutnya, tanpa jambatan itu telah menyukarkan penduduk kampung memandangkan jalan raya yang ada agak jauh iaitu kira-kira 15km dan terpaksa melalui beberapa buah kampung.

“Perkara ini (jambatan musnah) telah saya laporkan kepada pihak JKR pada 29 Disember 2021 setelah melawat dan meninjau keadaan jambatan itu, apabila menerima aduan daripada pemimpin setempat dan orang kampung ketika itu.

“Namun sehingga hari ini setelah lebih 4 bulan berlalu, masih belum ada tanda-tanda tindakan diambil oleh pihak berkenaan, termasuk Pejabat Daerah Sipitang supaya jambatan itu dapat dibina semula dengan segera untuk kemudahan orang kampung”, katanya selepas melawat dan meninjau jambatan kampung itu kali kedua, baru-baru ini.

Sani berharap JKR khususnya Pengarahnya dan syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan negeri- Pembinaan Kekal Mewah Sdn.Bhd segera mengambil tindakan membina semula jambatan konkrik yang baharu.

Beliau berkata, sekiranya membina semula jambatan baharu perlu mengambil masa yang lama dan memerlukan kos yang tinggi, syarikat konsesi dan JKR wajar membina jambatan gantung sebagai alternatif jangka pendek untuk kegunaan penduduk kampung.

“Sementara menunggu peruntukan untuk membina jambatan baharu, bina dahulu jambatan gantung yang boleh digunakan oleh penduduk kampung dan juga dapat dilalui oleh motorsikal”, tambahnya.

Katanya, Timbalan Menteri Kewangan, Tuan Haji Yamani Hafez Tan Sri Musa yang juga Ahli Parlimen Sipitang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr.Yusof Yacob yang kini wakil rakyat bebas pro-Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) wajar membantu mendapatkan peruntukan segera demi rakyat yang mereka diwakili.

Sani juga menggesa JKR memantau kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya yang dilakukan oleh syarikat konsesi memandangkan terdapat aduan daripada orang awam bahawa kerja-kerja yang dilakukan tidak berkualiti.

“Selain itu JKR juga perlu bertindak pro-aktif membaiki segera jalan-jalan yang rosak dan berlubang demi keselesaan dan keselamatan pengguna. Terdapat masalah kerosakan jalan raya yang sudah berlaku bertahun-tahun lamanya tanpa pembaikan. Jangan tunggu hingga kena kritik atau viral dalam media sosial baru bertindak, ini akan menjejaskan nama baik Kerajaan GRS-BN”, tegasnya.

Sani berkata, Pejabat Daerah dan jabatan serta agensi kerajaan yang lain di Sipitang juga perlu mengambil tindakan yang sewajarnya apabila menerima aduan dan laporan berhubung pelbagai masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung.

“Jangan hantar kontraktor berbincang dengan orang kampung, JPKK atau Ketua Kampung, kerana kontraktor tiada kuasa mewakili jabatan atau agensi kerajaan berkenaan, seperti yang pernah berlaku di sebuah kampung melibatkan pembinaan jambatan gantung ke-2, setelah jambatan pertama diluluskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Pegawai berkenaan kena turun padang, bertemu dan berbincang dengan pemimpin dan orang kampung, dan mencari jalan penyelesaian terbaik menangani masalah yang dihadapi rakyat”, tambahnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles