TAMPARULI: Masyarakat luar bandar digesa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), agar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, pengetahuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sangat penting dipelajari, sejajar dengan peredaran zaman yang pesat dengan ledakan teknologi.
“Pendedahan ilmu ICT ini amat perlu bagi memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan komunikasi yang semakin pesat, dan dalam masa yang sama juga mampu memudahkan segala urusan seharian di kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kursus Mobile ICT anjuran Pusat e-Desa Topokon dan Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Wangkod, di Dewan Muhibbah Kampung Wangkod, pada Rabu.
Turut hadir Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Wakil Ketua Anak Negeri, WKAN Hendry Insing, Pemaju Mukim Rizkam Yabin, Pengerusi JPKK Kampung Wangkod, Jefanus Jamin dan Ketua Kampung Wangkod, KK Balad Longkod.
Katanya, kebanyakan penduduk kampung ketika ini melakukan banyak urusan secara dalam talian termasuk membeli barangan, perbankan, membayar bil, belajar, dan pendaftaran di laman sesawang kerajaan.
“Pengetahuan mengenai ICT mungkin lebih mudah diakses di bandar, namun sekiranya anda tinggal lebih jauh dari kawasan tumpuan populasi, akses ICT menjadi semakin sukar diperolehi,”.
Justeru, katanya, kursus seumpama itu merupakan peluang penduduk tanpa mengira umur untuk mendalami ilmu asas mengenai ICT.
“Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah yang serius untuk menerapkan budaya ICT kepada masyarakat, bagi mengurangkan jurang digital.
“Ini selaras dengan usaha mewujudkan pembangunan yang lestari terhadap penggunaan kemudahan ICT di kawasan luar bandar,” tambah beliau.
Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berkata, peranan e-Desa Topokon sebagai pusat internet juga merupakan medium komunikasi komuniti di kawasan tersebut.
“Selain dapat mengurangkan gejala negatif dalam kalangan belia dengan bertindak sebagai pusat untuk menimba ilmu dan mendapatkan maklumat terkini serta isu-isu semasa, kini e-Desa juga telah meluaskan fungsi mereka dengan memasuki kampung-kampung untuk mengadakan kursus seumpama ini,” katanya.
Terdahulu, wakil tenaga pengajar Mobile ICT, dari e-Desa Topokon, Belinda Linjam, menghargai sokongan ibu bapa kepada anak-anak mereka yang telah berjaya menjalani kursus selama enam hari tersebut.
Sementara itu, Pengerusi JPKK, Jefanus Jamin, berkata kursus berkenaan bukan sahaja memberi kebaikan kepada para pelajar sekolah, tetapi juga kepada golongan ibu bapa yang turut serta bagi menimba ilmu baharu dalam bidang ICT.
Beliau bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) JPKK turut bercadang untuk merancang mengadakan satu lagi kursus lain iaitu Kursus Bahasa Inggeris, kepada para penduduk.
Pada majlis yang sama, Jahid turut meluluskan sumbangan sebanyak 150 kerusi dan beberapa buah meja mengikut keperluan di dewan kampung tersebut.