Penduduk Pitas diseru rebut peluang keluar kepompong kemiskinan

PITAS: Penduduk luar bandar diseru berusaha bersungguh-sungguh merebut peluang untuk keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi platform yang telah disediakan oleh kerajaan.

Advertisements

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, masyarakat harus mengenal pasti peluang yang muncul dan seterusnya mengambil tindakan untuk merealisasikan impian mereka.

“Kalau bukan kita sendiri yang menjayakan apa yang sudah direncanakan, semuanya pasti akan menjadi sia-sia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Peserta Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Kiandut Pitas, di Perkarangan Surau MESEJ Kiandut, pada Selasa.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, YB Harun Durabi, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Pitas yang juga mewakili Adun Pitas, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS), Datuk Hj Faimin Kamin, Pegawai Daerah Pitas, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul, Penolong Pegawai Daerah (ADO) Marck @ Hassan Libau, Lee Chun Kiat, dan Johari Abdullah.

Katanya, kerajaan hanya mampu memberikan platform dan peluang kepada penduduk bagi mengubah pola kehidupan mereka sekarang untuk mereka keluar dari zon selesa, dan kini terpulang kepada peserta untuk berusaha gigih bagi memastikan kehidupan mereka terbela.

“Saya berharap para peserta MESEJ dapat bekerjasama dengan syarikat usahasama (Retha Bird Nest Pitas Sdn.Bhd) untuk memastikan visi dan misi Bengkel Rumah Burung Walit ini terlaksana,” katanya.

Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli berkata, pada hujung tahun 2021 lepas, beliau bersama rombongan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) telah mengadakan lawatan ke MESEJ Kiandut dan mendapati perlu adanya sebuah bengkel sarang burung Walit.

“Saya dimaklumkan bahawa MESEJ Kiandut merupakan sebuah projek yang dilaksanakan untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan peserta seramai 40 Ketua Isi Rumah (KIR) yang telah berdaftar dalam sister e-Kasih, dan salah satu projek utama yang akan diberikan kepada MESEJ adalah sebuah perusahaan penternakan burung walit secara berkelompok,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan telah memberi amanah kepada KPLBS untuk melihat letak duduk sebenar keperluan rakyat yang perlu dibela, dan sentiasa mengambil berat terhadap keluarga yang memerlukan pembelaan.

Maka katanya, atas keprihatinan dan tanggungjawab pihak kerajaan, Bengkel Memproses Rumah Burung Walit MESEJ Kiandut ini telah dibina untuk membantu para penduduk mencari sumber pendapatan.

Tambah beliau, disebabkan usaha sama, syarikat Retha Bird Nest Pitas Sdn.Bhd, Pegawai Daerah Pitas bersama para peserta MESEJ, pihak syarikat usaha sama juga akan membantu membaik pulih semua kemudahan yang ada seperti infrastruktur di MESEJ Kiandut.

Justeru, beliau mengharapkan kerjasama dan komitmen penuh peserta kepada syarikat yang membantu dalam memastikan MESEJ Kiandut terus membangun dan maju seiring dengan kemajuan pembangunan negara.

“Semoga kejayaan masyarakat luar bandar khususnya di daerah Pitas tidak terhenti di sini sahaja, sebaliknya kita mahu melihat pencapaian yang jauh dan lebih daripada hari ini,”.

Penghargaan turut diberi kepada Pegawai Daerah Pitas kerana sentiasa menjadi tulang belakang kepada Adun Pitas dan Bengkoka dalam memastikan daerah tersebut tidak ketinggalan jauh dari daerah-daerah lain terutamanya dalam aspek pembangunan.

Terdahulu, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bengkoka, YB Harun Durabi, berharap kerja kuat pihak Pejabat Daerah Pitas dapat memastikan matlamat untuk membawa penduduk MESEJ keluar daripada garis kemiskinan akan dapat dicapai.

Sementara itu, Pegawai Daerah Pitas, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul, menghargai lawatan Jahid bersama rombongan KPLBS buat kali kedua ke daerah Pitas bagi memberi suntikan semangat kepada pihak Pejabat Daerah Pitas sebagai pelaksana dasar-dasar kerajaan hari ini.

Untuk rekod, Bengkel Rumah Burung Walit MESEJ Kiandut telah mula dibina pada 15 November 2021, dan siap pada 20 Disember 2021 dengan menelan kos sebanyak RM150,000.00.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles