Laksana RUU Anti Lompak, Jangan Hancurkan Masa Depan Negara – Pemuda UPKO

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kecewa dengan tindakan kerajaan seolah-olah melambat-lambatkan pembentangan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan (Anti Lompat Parti).

Advertisements

Ketuanya Felix Joseph Saang berkata, tindakan kerajaan seperti itu menimbulkan banyak tanda tanya daripada rakyat yang sememangnya mahu RUU Anti Lompat Parti dikuatkuasakan.

“Rakyat mendesak dan menuntut supaya RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan (Anti Lompat Parti) segera dibentang dan diluluskan.

“Apa niat Barisan Nasional (BN)/ Perikatan Nasional (PN) menangguhkan proses tersebut. Negara semakin ‘hancur’ dan menjadi bahan jenaka dunia disebabkan budaya ahli politik ‘lompat katak’.

“Hanya di Malaysia dimana parti-parti yang memenangi pilihan raya menjadi pembangkang dan parti yang kalah jadi kerajaan kerana budaya ‘lompat’,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan penubuhan Cawangan UPKO secara berkelompok di Paitan Sugut, hari ini.

Felix berkata, tiada faedahnya budaya ini diteruskan kerana ia hanya akan membawa banyak keburukan dan ketidakstabilan politik seterusnya menjatuhkan ekonomi negara.

Sebab itu katanya, RUU Pindaan Perlembagaan Anti Lompat Parti perlu segera dibentangkan dan diluluskan bagi mengelak lebih ramai ahli politik yang tidak berpendirian ‘melompat’ untuk kepentingan sendiri.

“Kerajaan hari ini harus menghormati MoU yang telah ditandatangani bersama Pakatan Harapan (PH) untuk kestabilan politik,” katanya.

Katanya lagi, jika Kerajaan BN dan PN gagalkan RUU Anti Lompat Parti, ia jelas membuktikan bahawa mereka telah merancang untuk meneruskan politik keji mereka ‘membeli’ Wakil Rakyat selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU 15).

“Rakyat harus bangkit dan menentang sekeras-kerasnya politik kotor ini demi untuk menyelamatkan negara kita yang kini semakin parah. Laksanakan RUU Anti Lompat Parti, jangan hancurkan masa depan negara,” katanya.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin depan ditangguhkan buat kali kedua.

Bagaimanapun, semasa perjumpaan bersama para pemimpin utama Pakatan Harapan pada 5 April lalu, bagi mendapatkan penjelasan berhubung status pembentangan RUU Anti Lompat Parti, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob memberi komitmen bahawa tidak ada perubahan notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 11 April 2022 seperti yang telah diedarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen.

Pada majlis itu, Felix menerima 500 borang keahlian baru yang diserahkan oleh wakil pemimpin dari beberapa buah kampung.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Paitan Sugut yang memilih UPKO sebagai satu wadah perjuangan.

Menurut Felix, UPKO komited, telus dan fokus dalam memperjuangkan hak-hak serta kepentingan rakyat Sabah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles