Jangan halang ekonomi Sabah berkembang melalui CIQ: Khairul Firdaus

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sabah, Khairul Firdaus Datuk Akhbar Khan berkata perlaksanaan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Kalabakan, Sabah perlu diteruskan kerana kewujudan pusat itu mampu meningkatkan dan memperluaskan peluang penjanaan ekonomi bagi negeri Sabah dan penduduk setempat.

Advertisements

“Apabila keputusan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan dan menarik balik peruntukan bagi pembinaan CIQ ini bagi tahun ini dan tahun hadapan, pastinya ini adalah umpama menghalang ekonomi negeri Sabah dari berkembang pesat, seperti CIQ lain yang telah membawa banyak kejayaan dari segi peluang perluasan ekonomi penduduk setempat.

“Antaranya CIQ Bukit Kayu Hitam, Kedah dan CIQ di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurut Khairul Firdaus, keputusan dari Kerajaan Persekutuan itu amat mengecewakan rakyat dan seluruh penduduk negeri Sabah.

“Perkara ini amat mengecewakan, sebab apa?… sebab kita sedar akan potensi yang bakal dicipta oleh CIQ tersebut, kerana kita tahu baharu negara jiran kita sudah berpindah ibu negara mereka, ke Kalimantan yang mana mempunyai jumlah penduduk sekitar 20 juta hingga 25 juta, dan mereka juga sudah menyiapkan segala frasarana seperti pusat perdagangan, jalan-jalan rayanya, bangunan-bangunannya dan juga persekitaran ekosistem yang bersesuaian.

“Amat rugi untuk kita di Sabah kerana belum ada sebarang tindakan yang menyahut ruang dan peluang bagi kita meningkatkan dan memulihkan Kembali ekonomi kita melalui pembinaan CIQ tersebut,” katanya.

Khairul Firdaus juga yang merupakan Ketua BERSATU Bahagian Batu Sapi turut menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan perlu meneliti semula perkara tersebut dan tidak mensia-siakan peluang yang bakal wujud kelak.

“Tidak ada satu alasan munasabah pun, untuk kita tidak meneruskan projek pembinaan CIQ ini, kerana pembinaan CIQ ini akan mewujudkan pelbagai sektor dan peluang-peluang baharu seperti kepada kita.

“Baik dari segi keperluan kepada pekerja untuk sektor pembinaan, perkembangan sektor pelancongan dalam negeri Sabah, perkembangan ekonomi dan perdagangan bagi negara kita dan negara jiran, bahkan pelbagai peluang baharu turut mampu dijana dengan kewujudan CIQ, seperti perkembangan dan saling imbal balik kemahiran antara penduduk setempat kita dengan penduduk negara jiran kita,” tambah Khairul Firdaus lagi.

Dalam pada itu, Khairul Firdaus juga turut menyeru kepada Kerajaan Persekutuan untuk telus dan berlaku adil dengan penduduk negeri Sabah kerana penduduk di negeri Sabah juga memerlukan usaha-usaha dan suntikan semangat serta dana untuk membangun dan berkembang pesat.

“Saya harap Kerajaan Persekutuan akan telus, bahkan lebih telus, ikhlas dalam sebarang tindakan dan bertindak segera, untuk negeri Sabah, untuk rakyat Sabah, untuk Sabah sama-sama membangun dan bangkit menempa kejayaan, setanding dengan negeri-negeri lain.

“Inilah peluang kita untuk merancakkan ekonomi kita, ekonomi Sabah, sekaligus ekonomi negara Malaysia, melalui pembinaan CIQ di Kalabakan,” ujar beliau lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles