Amisah Minta SPR Kaji Semula Persempadanan Kawasan Parlimen Sabah

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta membuat persempadan semula kawasan Parlimen di Sabah bersesuaian dengan perkembangan semasa, populasi dan pembangunan setempat.

Advertisements

Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik, Datuk Amisah Yassin berkata, berdasarkan saiz negeri Sabah yang besar menyebabkan tidak mungkin seseorang Ahli Parlimen mampu melaksanakan tanggungjawab dengan efisien terhadap rakyat.

Menurut beliau, kajian terakhir yang dilakukan bagi persempadanan kawasan Parlimen Sabah adalah pada tahun 2003 iaitu kira-kira 19 tahun lalu.

Oleh kerana Sabah sendiri telah melalui banyak perubahan berbanding 19 tahun lalu termasuk dalam aspek populasi dan pelbagai keperluan rakyat, sudah tiba masanya bagi SPR melaksanakan persempadanan semula kawasan Parlimen di negeri ini.

“Kita amat berharap dengan persempadanan semula ini dapat melancarkan lagi proses perkhidmatan wakil-wakil rakyat memandangkan ada kawasan Parlimen di Sabah ini terlalu besar, malah kita berharap proses ini juga membolehkan lebih banyak isu berkaitan rakyat Sabah dapat disuarakan di Dewan Rakyat, katanya semasa berucap perbahasan pada persidangan DUN Sabah di sini pada Isnin.

Amisah berharap cadangan tersebut mendapat sokongan daripada semua ADUN di Sabah selain kepimpinan kerajaan negeri demi kebaikan rakyat Sabah dalam matlamat meningkatkan lagi perkhidmatan serta kebajikan di negeri ini.

Menyentuh mengenai bekalan telur dan ayam yang berhadapan dengan masalah baru-baru ini, beliau meminta pihak berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna supaya memastikan isu berkenaan tidak berterusan.

Menurut beliau, telur kini sudah menjadi bahan makanan asas yang wajib ada di setiap rumah dan semestinya kekurangan bekalan di kedai dan harga yang meningkat naik menjadi satu masalah kepada rakyat.

“Justeru saya meminta pihak bertanggungjawab agar memastikan keperluan telur mencukupi memandangkan telur pada masa kini sudah menjadi bahan makanan asas yang wajib ada di setiap rumah.

“Bahkan telur turut menjadi bahan utama dalam pembuatan roti, kek, kuih-muih dan pelbagai aneka masakan lagi menjadikannya salah satu keperluan utama kepada para peniaga, katanya.

Katanya, kementerian terbabit perlu menyediakan satu perancangan dan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang supaya isu seperti kekurangan bekalan telur serta kenaikan harga telur di pasaran dapat ditangani dengan lebih efisien dan berkesan.

Beliau turut menyentuh mengenai isu kekurangan bekalan kit ujian pantas (RTK) antigen di pasaran baru-baru ini sehingga menyebabkan sebilangan pengguna terpaksa mengunjungi empat dan lima kedai untuk membelinya.

Semua itu berlaku apabila orang ramai mula bimbang selepas kes jangkitan wabak kembali meningkat sekali gus meningkatkan kesedaran bagi membuat ujian kendiri status kesihatan masing-masing.

“Malangnya, bekalan kit ujian berkenaan begitu terhad di pasaran menyebabkan masing-masing begitu kecewa dengan keupayaan kerajaan untuk memastikan bekalan berkenaan sentiasa ada bagi memenuhi keperluan semasa, tambah beliau.

Beliau turut menggesa pihak-pihak bertanggungjawab agar mengawal caj bagi ujian RT-PCR di klinik-klinik swasta memandangkan harganya berbeza-beza antara klinik, malah ada yang cuba mengambil kesempatan sehingga RM200 bagi satu ujian.

Rakyat kini dalam keadaan tertekan dengan wabak yang tidak berkesudahan dan sewajarnya mereka tidak lagi dibebani dengan kos-kos ujian pengesanan Covid-19 ini, katanya.

Amisah juga meminta kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan perang yang melanda antara Rusia dan Ukraine kerana Sabah juga mungkin berhadapan dengan kesan buruk daripada konflik berkenaan.

Walaupun kita di Sabah ini jauh daripada Ukraine tetapi konflik dan peperangan pasti bakal memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan dan lain-lain keperluan di negara kita khususnya jika ada yang berkaitan dengan kedua-dua negara tersebut.

Merujuk kepada laporan media, negara kita didapati turut bergantung terhadap produk atau barangan dikeluarkan negara berkenaan termasuk kesan terhadap industri agromakanan kerana Rusia merupakan pengeluar utama baja dunia, manakala Ukraine pula antara pengeluar bijirin utama dunia.

Sehubungan itu, Amisah meminta agar pihak-pihak berkaitan agar tidak menunggu keadaan menjadi buruk baru kita mahu mengambil tindakan penyelesaian memandangkan perang sudah pun berlaku dan sewajarnya kita sudah mempunyai pelan tindakan pilihan untuk mengatasinya, katanya.

Beliau khuatir jika industri asas tani negara tidak mampu mengeluarkan bekalan makanan mencukupi disebabkan perang di Ukraine, tambahan pula negara masih berdepan dengan wabak Covid-19.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles