Sabah bersedia mengalu-alukan kedatangan pelawat

255

KUALA LUMPUR: Sabah akan mendapat manfaat besar daripada pembukaan semula sempadan negara yang ditunggu-tunggu mulai 1 April ini, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Selasa.
Sambil mengalu-alukan pengumuman itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata ekonomi Sabah terjejas teruk sejak penutupan sempadan antarabangsa kira-kira dua tahun lalu kerana pelancongan adalah antara sumber pendapatan utama negeri.
Menegaskan keperluan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, Hajiji berkata Sabah telah bersiap sedia untuk mengalu-alukan kedatangan pelawat dan memastikan ini akan membantu ekonomi.
Bagaimanapun, Ketua Menteri berkata Sabah akan menunggu pengumuman terperinci supaya ia boleh menyelaraskan SOP untuk memenuhi keadaan dan keperluan negeri.
!Dalam beberapa penglibatan saya dengan pemain industri pelancongan, ini (pembukaan semula sempadan) adalah yang sentiasa mereka desak,” katanya.
Baru-baru ini, Hajiji mengadakan perbincangan panjang lebar dengan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk K L Tan yang telah merayu untuk pembukaan semula sempadan antarabangsa.
Perdana Menteri dalam satu pengumuman khas hari Selasa berkata rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah boleh masuk dan keluar negara seperti yang mereka lakukan sebelum pandemik itu.
Pengembara yang telah mendapat vaksin penuh tidak perlu menjalani kuarantin apabila pulang ke Malaysia, sebaliknya, mereka hanya perlu menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas dan ketika ketibaan.
Ismail berkata keputusan untuk membuka semula sempadan dibuat berdasarkan “sains dan fakta terkini” mengenai COVID-19, dengan menyatakan bahawa negara lain juga telah mula membuka sempadan mereka.
Sempadan negara telah ditutup sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020.