Ronald Hadiri Dialog Industri Agromakanan 2022 di Sungai Balang, Muar

SUNGAI BALANG: Program Jelajah Dialog Industri Makanan 2022 (DIA2022) pada kali ini telah dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di Sungai Balang, Muar, Johor bagi mendapatkan input, idea, pandangan dan cadangan daripada pemain industri untuk bersama-sama membangunkan industri perikanan yang mampan dan berdaya maju ke arah kelestarian makanan negara selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN 2.0).
Sesi libat urus secara langsung bersama pihak pengurusan tertinggi MAFI ini diketuai oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bersama wakil pegawai Kementerian dan Jabatan bagi memberi peluang kepada usahawan agromakanan tempatan untuk sesi interaksi.
Antara yang terlibat dalam program ini adalah pemain industri dalam sektor agromakanan yang berasaskan perikanan merangkumi nelayan pantai, nelayan darat, penternak akuakultur khususnya kupang, ahli myKP dan pengusaha produk hiliran berasaskan ikan yang berdaftar di bawah Jabatan Perikanan Negeri Johor.
Kerjasama dan komitmen semua pihak berkepetingan diperlukan bagi memastikan sektor perikanan dapat terus berkembang maju di negara kita serta dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.
Menurut statistik perangkaan Jabatan Perikanan Malaysia tahun 2020, Negeri Johor merupakan negeri yang mempunyai bilangan nelayan kedua teramai iaitu 11,136 orang di Malaysia. Dari segi penternakan dan akuakultur, negeri Johor menyumbang kepada 6.58% pengeluaran akuakultur air tawar dan 4.41% pengeluaran akuakultur air payau di Malaysia.
Negeri Johor merupakan salah sebuah negeri pengeluar utama kerang dan kupang di Malaysia. Pada tahun 2020, Johor telah menyumbangkan sebanyak 317.3 tan metrik kerang yang bernilai RM2.6 juta dan merupakan negeri pengeluar utama kupang, iaitu 951.7 tan metrik dengan nilai RM4.7 juta.
Seramai 108 orang nelayan pantai yang baru di Daerah Muar dan Tangkak akan menerima Lesen Nelayan Sampan. Selain itu, Lesen Peralatan Menangkap Ikan dan Bantuan Touchpoint berupa tong insulasi serta jaket keselamatan turut diserahkan kepada 53 nelayan darat bagi membantu dari segi aktiviti perikanan nelayan darat disamping menjaga keselamatan semasa aktiviti penangkapan ikan.
DOF juga telah menyerahkan Penyerahan Peralatan P-Line dan mesin pembersih kupang kepada my Komuniti Perikanan (myKP) Sg. Balang bernilai RM200,000. Bantuan di bawah Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) bernilai RM17,500 turut diserahkan kepada myKP Lenga yang terkesan semasa bencana banjir awal tahun ini.
Dalam program yang sama, Jabatan Pertanian turut menyerahkan insentif Projek Pertanian Bandar Tahun 2022 kepada 150 peserta dengan peruntukan berjumlah RM82,150.
Dr Ronald berkata, Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melaksanakan pelbagai bentuk dana dan pakej rangsangan ekonomi sepanjang dua tahun ini bagi membantu meringankan beban rakyat Malaysia yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
“MAFI sahaja telah menerima hampir RM1 billion melalui pakej-pakej seperti Prihatin, Penjana dan Dana Jaminan Makanan yang disalurkan melalui pelbagai agensi dan jabatan di bawah MAFI untuk manfaat golongan sasar,” kata beliau.
Dana Khas Persatuan Nelayan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) antara RM100,000 hingga RM200,000 diberikan kepada setiap Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).
Tambah beliau lagi, Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan nelayan yang merupakan antara barisan hadapan sektor agromakanan yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan negara.
Bantuan dan sokongan akan terus diberikan kepada pengeluar makanan yang meliputi golongan nelayan dan penternak akuakultur kerana mereka merupakan pihak berkepentingan utama dalam ekosistem makanan.
“Elaun Sara Hidup Nelayan yang sebelum ini dikurangkan juga telah dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan untuk nelayan laut. Manakala, Elaun Sara Hidup Nelayan Darat pula telah dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan,” jelas Dr Ronald.
Sektor perikanan dan akuakultur merupakan antara subsektor agromakanan yang diberikan penekanan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0). Subsektor perikanan dan akuakultur diunjurkan akan menyumbang kepada KDNK daripada RM12.81 bilion pada tahun 2021 kepada RM16.72 bilion pada tahun 2030. Subsektor ini juga dijangka akan menyumbang kira-kira 21% hingga 24% kepada jumlah KDNK sektor agromakanan dari tahun 2021 hingga tahun 2030.
MAFI terus komited untuk memastikan subsektor perikanan dan akuakultur diuruskan secara mampan supaya dapat mengekalkan dan meningkatkan stok ikan sedia ada bagi menjamin bekalan pasaran yang berterusan selain memastikan tahap kesejahteraan dan pendapatan pengeluar makanan subsektor perikanan dan akuakultur dapat terus dipertingkatkan.
Hadir sama di Program Jelajah Dialog Industri Agromakanan 2022 Bersama Komuniti Agromakanan Johor adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham bin Mohd; Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, YBhg. Dato’ Zahimi bin Hassan; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perikanan, En. Mohd Mohtar bin Mahamud dan Pengarah Perikanan Negeri Johor, Tuan Haji Zainudin bin Abd Wahab.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles