Ketua Menteri: Tiada pertelagahan, hubungan GRS adalah utuh

KUDAT: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menolak khabar angin bahawa hubungannya dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan beberapa kepimpinan tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah retak.
“Saya akan nyatakan dengan jelas, memandangkan Datuk Bung ada di sini, kami tidak pernah bertelagah (antara satu sama lain). Tidak pernah berlaku salah faham walaupun orang lain cakap tentang kami,” katanya ketika penutupan GRS Back Benchers Club di Kudat Golf and Marina Resort di sini pada malam Sabtu.
“Sebenarnya, hubungan saya dengan Datuk Bung (dan dalam hal ini) Datuk Dr Maximus Ongkili (presiden PBS) dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (presiden STAR) sangat mesra dan semakin lama semakin kuat,” katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh.
“Walaupun kita datang daripada parti yang berlainan, kita tegas dengan ikrar GRS. Dengan (penjelasan) ini, saya berharap tidak akan ada lagi cakap-cakap yang Hajiji tidak baik dengan Bung atau Dr Max dan Dr Jeffrey.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut menyatakan bahawa beliau sentiasa berhubung dengan Bung.
“Saya telah bercakap dengan Datuk Bung bahawa kita perlu melindungi mandat yang diberikan oleh rakyat kepada GRS. Kita ada kurang empat tahun sebelum pilihan raya semula jadi apa yang perlu kita lakukan ialah bekerja keras untuk membawa kemajuan kepada rakyat dan Sabah,” katanya.
Ketua BERSATU Sabah itu berkata beliau memahami bahawa beliau tidak akan menjadi Ketua Menteri tanpa sokongan padu daripada pelbagai pihak dalam GRS.
“Saya faham perkara ini. Oleh itu kita perlu bekerja keras untuk rakyat. Juga tidak perlu berebut kerusi. Kita boleh selesaikan dengan melihat kekuatan parti masing-masing. Jika parti itu kuat dalam sesebuah kawasan maka kerusi akan diberikan,” katanya.
Mengenai pilihan raya kecil DUN Bugaya, Hajiji berkata perkara berkaitan calon akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin GRS untuk mencari penyelesaian secara baik, setelah perintah darurat pada pilihan raya kecil itu ditarik balik.
Mengenai isu pendaftaran secara rasmi pakatan GRS, katanya beliau tidak ragu-ragu jika perkara itu dipersetujui oleh semua komponen dalam GRS.
“Jika ini yang diinginkan oleh semua orang, maka saya akan berusaha untuk memastikan GRS akan didaftarkan secara rasmi,” katanya.
Hajiji juga percaya bahawa dengan mendaftarkan GRS sebagai pakatan rasmi ia akan mengukuhkan lagi hubungan dan perpaduan komponennya.
Pada masa ini, GRS adalah satu gabungan longgar antara Perikatan Nasional (BERSATU Sabah, STAR SAPP, PAS dan Gerakan), Barisan Nasional (UMNO, PBRS, MIC dan MCA) dan Parti Bersatu Sabah.
Terdahulu, Hajiji berkata GRS yang terdiri daripada UMNO, STAR, PBS dan BERSATU telah memenangi pilihan raya negeri dan kekuatan tiga gabungan bebas itu menjadikan jumlah keseluruhan 41 daripada 73 kerusi dimenangi sekali gus menumbangkan Warisan Plus (Warisan, Upko dan DAP) yang hanya memenangi 32 kerusi.
Selepas pembentukan kerajaan negeri, GRS memperoleh tambahan enam kerusi melalui enam ADUN yang dilantik dan seterusnya lima ADUN pembangkang menyertai GRS menjadikan jumlah keseluruhan kerusi kini 52.
“Ini bukti rakyat kini lebih yakin dengan Kerajaan Negeri GRS,” katanya.
Beliau mengakui Kerajaan Negeri GRS berdepan tugas berat pada permulaan pentadbirannya berikutan penularan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan politik di peringkat Persekutuan.
Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyekat penganjuran acara awam termasuk majlis rasmi kerajaan, sekali gus bermakna Kerajaan Negeri GRS yang baru ditubuhkan tidak dapat turun padang untuk bertemu rakyat, katanya.
Di sebalik cabaran yang dihadapi, beliau berkata Kerajaan Negeri GRS terus menjalankan tugasnya untuk melakar laluan ke arah kemajuan bagi Sabah dan rakyat melalui penggubalan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang berteraskan Akujanji GRS (Ikrar) dan manifesto pilihan raya.
“Terdapat lebih 500 inisiatif dalam Hala Tuju SMJ 1.0. Sekretariat itu diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri dan dibantu Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN),” katanya.
Menerusi SMJ, Hajiji berkata Kerajaan Negeri GRS telah pun mencapai beberapa pencapaian penting seperti mendapat bayaran tahunan lima peratus Cukai Jualan Negeri ke atas petroleum daripada PETRONAS, pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963, menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS, menarik pelabur utama ke Sabah serta pendapatan terbesar sepanjang tahun lalu sebanyak RM5.3 bilion.
Ketua Menteri berkata beliau akan meneliti resolusi daripada pemukiman itu untuk dipertimbangkan.
“Jika tabung dan hasil negeri kita terus bertambah baik, insya-Allah kita akan menambah peruntukan ADUN (daripada RM2 juta) kepada RM3 juta,” katanya sambil menambah satu kertas Kabinet juga dijangka dibentangkan oleh Kementerian Kewangan untuk meningkatkan elaun wakil rakyat negeri.
Yang turut hadir ialah Pengerusi GRS Back Bencher Club, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said; Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Arifin Arif; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Datuk Yakub Khan dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles