Srikandi perlu peka isu orang muda – Azizah

0

Advertisements

KOTA KINABALU: Seluruh kepimpinan sayap Srikandi Bersatu diminta lebih peka dengan isu golongan muda yang bakal keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata,  mereka perlu mendekati dan lebih kerap turun padang menemui golongan tersebut bagi membolehkan memahami kehendak dan keperluan generasi berkenaan secara nyata.

Menurut beliau, usaha itu perlu dilakukan secara berterusan dan bukannya secara bermusim terutama ketika menjelang pilihan raya.

“Pengundi muda yang berumur 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik harus kita dekati. Kita mesti merencana strategi memikat hati pengundi-pengundi muda ini. Saya berharap biro Srikandi Muda Sabah akan mengambil peranan dan merancang program ke arah menarik minat anak muda ini.

Seharusnya kursus yang dianjurkan untuk memperkasakan jentera Srikandi dapat memanfaat ilmu pengetahuan yang diberikan dengan sebaiknya dan mempraktikkan penggunaan sistem IT dengan lebih berkesan dan efisien. Para peserta yang terlibat dalam kursus ini memikul amanah dan tanggungjawab yang besar dalam perjuangan parti kita bagi mendekati orang muda,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Kursus IT Srikandi Bersatu Sabah di sini semalam.
 
Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata Srikandi Bersatu Sabah menyambut baik kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Datuk Bung Moktar bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu bertahan jika semua komponen dapat berkerja dalam satu pasukan demi memenuhi aspirasi rakyat di negeri ini.

Katanya Srikandi Bersatu Sabah percaya dan yakin walaupun kerajaan sekarang dibentuk dari parti gabungan semua perlu berkerja sebagai satu pasukan gabungan itu untuk terus bertahan.

“Rakyat telah meletakkan kepercayaan serta aspirasi yang tinggi kepada kerajaan yang ada hari ini. Justeru kita perlu menghargai kepercayaan tersebut dengan kesungguhan berkerja untuk memajukan Sabah.

“Usaha itu bukan sahaja mampu menstabilkan politik dan kerajaan Sabah tetapi juga mampu membantu melonjakkan lagi perkembangan ekonomi dan kemajuan negeri,” ujarnya.

Tambah beliau Srikandi Sabah berharap dengan adanya GRS yang sah bukan sahaja melancarkan gerak kerja kerajaan tetapi juga gerak kerja parti yang akan bekerja mendekati rakyat serta menyelesaikan pelbagai isu rakyat.

Jelasnya Srikandi Sabah mahu gabungan ini menjadi satu gabungan yang kuat dan erat bekerja demi Sabah. Masa depan rakyat Sabah bergantung kepada kerajaan yang kuat dan stabil. Itu yang menjadi asas kepada kelancaran pentadbiran dan pembangunan rakyat.

Turut hadir sama Setiausaha Biro IT Bersatu Sabah, Datuk Naim Ahmat, Penolong Setiausaha Srikandi Bersatu Sabah, Dato Redonah Bahanda, Bendahari Srikandi, Datin Jamaliah Antalip, Exco Srikandi Malaysia, Mizma Appehdullah, Dg Norhayati Titing serta ketua-ketua Srikandi bahagian dan peserta kursus seluruh dari 25 bahagian.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles