Tidak perlu keluar parti untuk sokong kepimpinan Ketua Menteri jika dasarnya baik – Ewon

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa tiada keperluan baginya untuk keluar daripada parti untuk menyokong kepimpinan Ketua Menteri jika dasarnya baik untuk rakyat dan mencakupi agenda reformasi.

Advertisements

Menurut Ewon, beliau akan mengambil pendekatan untuk menyokong yang betul, menyanggah yang salah dan meneruskan apa yang wajar, iaitu prinsip yang dipegangnya selama berkepimpinan dalam parti.

“Kerjasama di antara pihak kerajaan dan pembangkang bagi agenda-agenda reformasi dan dasar-dasar membantu rakyat sudah lama menjadi norma kepimpinan politik di banyak negara. Di Amerika Syarikat, Kongres mereka telah meluluskan belanjawan terbesar memulihkan semula ekonomi pasca Covid-19 mereka kerana ada ahli kongres pembangkang yang telah menyokong dasar Presiden Joe Biden.

“Di Malaysia, ini telah dimulakan pada tahun lalu di peringkat persekutuan dan boleh menjadi norma kepimpinan politik negara yang baharu. Peranan pembangkang bukan semata-mata membangkang, begitu juga peranan penyokong kerajaan bukan pula menjadi pak turut semata-mata,” katanya.

Ewon yang juga merupakan Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) menyatakan demikian semasa berucap merasmikan pelancaran serentak mesyuarat agung tritahunan cawangan-cawangan UPKO Bahagian Kota Belud.

Beliau menjelaskan sokongan yang diberikan beliau kepada Ketua Menteri, Datuk Hajiji Mohd Noor tidak bererti beliau menyokong parti atau gabungan yang diterajui oleh Ketua Menteri tersebut.

“Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji selaku Menteri Kewangan telah membentangkan dua belanjawan negeri dan saya tidak menolak belanjawan tersebut walaupun menyatakan pandangan-pandangan tambahan semasa perbahasan di sidang DUN. Saya juga menyokong usul mereka apabila mereka mencadangkan pencalonan Datuk Bobbey Suan selaku Ahli Dewan Negara yang dipilih melalui sidang DUN.

“Saya juga telah menyatakan sokongan apabila Ketua Menteri melaksanakan reformasi memberi peruntukan kepada ADUN pembangkang. Ketua Menteri juga sebelum ini pernah bercakap mengenai tempoh had Ketua Menteri kepada dua penggal yang dibentang oleh parti mereka di peringkat Sabah. Ini memerlukan pindaan Perlembagaan Negeri. Jika usul pindaan ini dibawa ke sidang DUN, saya akan sokong sebab inilah juga antara Agenda Reformasi Sabah yang telah kami serahkan kepada beliau sebelumnya.

“Saya juga akan menyokong usul Enakmen Undang-undang Lompat Parti sekiranya pihak kerajaan membentangkannya di sidang DUN sepertimana akan dilaksanakan di Parlimen,” kata Ewon.

Menurut beliau, lompat keluar masuk parti adalah budaya politik lama di Sabah yang harus dihentikan dan digantikan dengan norma kepimpinan politik yang baharu iaitu kerjasama rentas politik antara pihak kerajaan dengan pembangkang sepertimana dipraktikkan di banyak negara.

“Kenapa seseorang Wakil Rakyat perlu keluar parti selepas pilihanraya semata-mata untuk menyokong atau menjadi mesra kepada pihak kerajaan? Apakah tidak boleh menyokong kepimpinan Ketua Menteri atau tidak boleh mesra kepada kerajaan kalaupun kita kekal sebagai Wakil Rakyat pembangkang? Saya fikir inilah yang perlu diulas oleh rakyat.

“Sebagai antara generasi baharu ADUN pula, saya mempunyai tanggungjawab memperlihatkan bagaimana pembawaan kepimpinan saya tanpa menjejaskan keanggotaan dalam parti. Saya telah menunjukkan kepimpinan saya selaku Wakil Rakyat kerajaan sebelum ini, dan kini saya perlu tunjukkan pula kepimpinan saya selaku Wakil Rakyat pembangkang,” katanya.

Ewon, bagaimanapun, prinsip demokrasi dan hak individu perlu dipertahankan iaitu kebebasan untuk membuat pilihan samada menubuh parti baharu atau menyertai mana-mana parti lain.

“Saya tidak bercadang meninggalkan parti UPKO untuk bermesra dengan pihak kerajaan, tetapi saya akan mempertahankan hak demokrasi rakan-rakan yang mengambil pendekatan tersebut walaupun saya kurang bersetuju dengan pilihan tersebut,” katanya.

Hampir 120 Ketua Cawangan UPKO hadir semasa pelancaran tersebut. Mesyuarat agung di peringkat cawangan pula akan diadakan sehingga Mac 2021.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles