Ronald Hadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Mengenai Pertanian, Sekuriti Makanan Negara D-8

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengetuai delegasi Malaysia menghadiri The 7th D-8 Ministerial Meeting on Agriculture and Food Security yang bertemakan “Promoting Climate Smart Agriculture” secara maya, semalam.

Advertisements

Mesyuarat kali ini dipengerusikan oleh Menteri Pertanian Bangladesh Dr Muhammad Abdur Razzaque, selaku tuan rumah pada mesyuarat kali ini.

Ronald menerusi ciapan pada facebook rasmi beliau menyatakan pada mesyuarat itu beliau telah menekankan usaha-usaha yang diambil oleh Kerajaan dalam menangani cabaran-cabaran utama sektor pertanian termasuk perubahan iklim.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah membangunkan hala tuju dasar negara melalui Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 bersandarkan tiga ciri utama iaitu kemampanan, daya saing dan kemajuan teknologi.

“Ini bagi menjadikan sektor agromakanan teguh dan seiring dengan pertumbuhan ekonomi global dan dalam masa yang sama mengurangkan kesan perubahan iklim.

“Peralihan ke arah pemodenan dan aplikasi pertanian pintar serta pertanian tepat merupakan antara hala tuju sektor ini dalam mendepani cabaran perubahan iklim sekaligus menjamin sekuriti makanan negara,” katanya.

Dalam hal ini, beliau turut berkongsi beberapa strategi khusus yang diambil bagi menyokong agenda perubahan iklim termasuk menggalakkan penggunaan teknologi dan automasi di dalam pendekatan pertanian pintar dan mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk industri; mengukuhkan pengumpulan data berkaitan sekuriti makanan negara supaya dapat diakses dan dipantau termasuklah kesan perubahan iklim terhadap sektor pertanian dan mempergiatkan Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi terhadap alternatif lain yang berpotensi supaya dapat disesuaikan dengan perubahan iklim.

Pada mesyuarat itu, Ronald telah menyatakan hasrat Malaysia untuk meneruskan kerjasama serantau dan kerjasama pintar dalam kalangan penggubal dasar, saintis, sektor swasta, serta komuniti agro secara umumnya.

Seterusnya mesyuarat telah mempertimbang dan memuktamadkan initiatif Dhaka dengan intipati utama dokumen tersebut antara lainnya adalah membangunkan halatuju bagi kerjasama dan perkongsian teknologi pertanian ke arah Climate Smart Agriculture.

Persidangan ini juga menjangkakan sokongan dari Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO), Islamic Development Bank (IsDB) serta rakan strategik yang lain dalam membantu ahli-ahli negara D-8.

Objektif penubuhan D-8 adalah untuk menjadi pemangkin kepada kerjasama dalam bidang ekonomi melalui perkongsian kepakaran bagi memperbaiki kedudukan negara-negara anggota di dalam ekonomi global.

Skop kerjasama ini juga telah diperluas dan dipelbagaikan bagi mewujudkan peluang-peluang baharu dalam hubungan perdagangan sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat.

Negara Anggota D-8 adalah Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki dengan Sekretariat D-8 berpusat di Istanbul, Turki.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles