Oleh: Jaafar Abd Wahid
TAWAU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin meminta kerajaan persekutuan supaya membangunkan jalan diantara Kalabakan-Serudung sejauh 39 kilometer (km) sebagai persediaan menghubungkan Sabah dengan tanah besar Kalimantan, Indonesia.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya menegaskan, ianya perlu disegerakan bagi membuka peluang kepada pembangunan lain yang dijangkakan akan menyusul apabila wujud laluan Kalabakan-Serudung nanti.
Tambahnya, pembangunan infrastruktur tersebut diyakini akan memberi manfaat kepada rakyat di Tawau dan pada masa sama turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat termasuklah dari aspek pelancongan.
Justeru beliau akan membawa perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memastikan ianya dapat dilaksanakan segera memandangkan ia adalah salah satu ‘game changer’ yang boleh mengubah landskap Sabah dari pelbagai sudut ke arah yang lebih baik.
“Saya akan memaklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri kerana saya yakin pelaksanaan ini mampu membangunkan Sabah yang secara tidak langsung dapat membawa Sabah keluar dari garis kemiskinan dan kemunduran, ” katanya.
Dalam perkembangan lain, Bung memberitahu, kerja-kerja pembinaan empangan air Cinta Mata Tawau yang sebelum ini sedikit tergendala akibat lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diteruskan semula.
Beliau memberi jaminan kerja-kerja pembinaan tersebut dapat dilaksanakan mengikut jadual setelah menerima taklimat daripada kontraktor terlibat semasa membuat tinjauan ke empangan tersebut.
Justeru Bung meminta rakyat terutama di Tawau yang terjejas dengan masalah bekalan air supaya terus bersabar kerana kerajaan yang ada pada hari ini sedang berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat.
Jelas beliau lagi usaha penghantaran air menggunakan lori tangki air sedia ada akan diteruskan di kawasan-kawasan yang mengalami gangguan bekalan air sebagai usaha penyelesaian jangka pendek.
Isu kekurangan lori tangki air juga akan ditangani dengan melibatkan kontraktor air dari luar bagi memastikan penghantaran bekalan air ke kawasan terjejas mencukupi dan berjalan lancar.