TAMPARULI: Bahang Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) kian terasa, di mana berbagai spekulasi dibuat oleh parti politik yang ada, mengenai pilihan calon masing-masing di pelbagai kawasan.
Di Parlimen Tuaran umpamanya, turut sama menjadi kerusi ‘panas’ apabila sana-sini melobi parti untuk bertanding, tidak kiralah dari parti pembangkang atau pun kerajaan. Pandangan berbeza setiap parti mula disuarakan, di mana masing-masing menyatakan kesediaan untuk bertanding.
Bagi Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Tamparuli, pendapat mana-mana parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah bersuara mewakili parti masing-masing merupakan sesuatu yang baik dan dianggap perkara normal.
Ketuanya, Boe Sindolun, berkata, menamakan kemungkinan calon yang dilihat berpotensi untuk diketengahkan, bukanlah sesuatu yang ‘luar biasa’ di gelanggang politik.
“Kita hormati pandangan mereka, tetapi untuk membuat keputusan, kami percaya GRS akan membuat penelitian yang bijak, bagi memastikan kerusi Parlimen Tuaran, kembali ke tangan pihak kerajaan sekarang,” katanya.
Untuk rekod, kerusi P170 Tuaran kini diduduki Presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang telah berpaling tadah kepada Barisan Nasional (BN), dengan menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH), bagi membentuk kerajaan negeri Sabah, pada Pilihanraya Negeri Ke-16 (PRN-16) lalu. “Kita yakin pihak kepimpinan PBS bersama pemimpin komponen GRS di peringkat tertinggi sudah pasti mempunyai ‘resipi’ terbaik untuk diperkenalkan bagi memenangi semula kerusi Parlimen Tuaran.
Katanya, di pihak PBS, mereka juga mempunyai dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), iaitu Tamparuli dan Kiulu, yang berpotensi tinggi untuk diketengahkan sebagai calon Parlimen kali ini.
“Justeru, apa sahaja keputusan mengenai calon pilihan nanti, seharusnya diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak,” katanya.