MAFI Bantu Naiktaraf Pasar Tamu Beluran

BELURAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang membangunkan Pasar Tamu ke-empat negeri Sabah di Beluran. YB Datuk Seri. Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, hari ini telah turun padang untuk mengadakan tinjauan dan seterusnya menyempurnakan pecah tanah Projek Naiktaraf Pasar Tamu Beluran.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk, YB Tuan Samad bin Jambri, YBhg. Dato’ Zainal Abidin bin Yang Razalli, Ketua Pengarah FAMA, dan Encik Saripol Baharin Karim, Pengarah Bisnes Sektor Awam NAFAS.
Projek Naiktaraf Pasar Tamu di Beluran dijangka siap pada pertengahan bulan Mei 2022 di bawah sumber peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang berjumlah RM746,000.
Menurut Dr Ronald, penaiktarafan Pasar Tamu tersebut akan memberi manfaat kepada 170 orang peserta sedia ada dan sekaligus dapat memberi keselesaan kepada para peserta dan pengunjung di daerah Beluran. Setelah siap dinaiktaraf, pentadbirannya akan diserahkan kepada Majlis Daerah Beluran.
Selain meningkatkan penglibatan secara langsung petani/pengeluar/usahawan dalam pemasaran hasil pertanian dan produk asas tani, penaiktarafan Pasar Tamu ini juga akan meningkatkan pendapatan mereka sekaligus menjadi saluran pasaran produk agromakanan bagi membantu pengusaha kecil memasarkan hasil keluaran sendiri.
“Sehingga kini, FAMA telah menaiktaraf dua buah Pasar Tamu di Sabah iaitu Pasar Tamu Sook, Keningau dan Pasar Tamu Kudat. Manakala, Pasar Tamu Kunak masih lagi di dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada Mac 2022,” kata beliau.
Selain kerjasama dengan pihak Majlis Daerah Beluran untuk menaik taraf Pasar Tamu, pihak FAMA juga dalam proses membangunkan sebuah Medan Gerai Buah-Buahan Segar di kawasan ini.
Dr Ronald berkata, projek menaiktaraf Pasar Tamu adalah sebahagian daripada program pengukuhan rangkaian peruncitan Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak dengan matlamat untuk mentransformasikan Pasar Tamu tanpa menghilangkan identiti keunikannya.
Dalam tempoh RMKe-11, MAFI melalui FAMA memperuntukkan RM9.5 juta untuk membangunkan program Pengukuhan Rangkaian Peruncitan Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak bermula tahun 2016. Sehingga September 2021, sembilan (9) lokasi Pasar Tamu telah dinaiktaraf iaitu empat (4) lokasi Pasar Tamu telah beroperasi, manakala lima (5) lokasi Pasar Tamu masih di peringkat pembinaan termasuk Pasar Tamu Beluran.
Manakala, di bawah RMKe-12, FAMA telah mengenalpasti tapak Pasar Tamu Tuaran di Sabah sebagai lokasi untuk dinaiktaraf pada tahun 2022 yang juga telah mendapat persetujuan daripada pihak Majlis Daerah Tuaran.
Pembangunan Pasar Tamu ini merupakan sebahagian daripada fungsi FAMA dalam memperkasakan pemasaran hasilan pertanian melalui pembangunan outlet pemasaran kekal bagi memudahkan urusan antara usahawan dan pengunjung serta pihak berkuasa tempatan.
Pembangunan outlet pemasaran kekal sebegini oleh FAMA adalah penting dan keberkesanannya juga dapat dilihat semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana outlet-outlet ini telah dibenarkan beroperasi sebagai ‘Pasar Segar Terkawal’ (PST) mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh MKN bagi memastikan kelangsungan bekalan dan mempercekapkan pengedaran makanan negara.
Pada masa yang sama, memandangkan tiada lagi negeri berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik sebelum ini, maka Pasar Tani di seluruh negara juga dapat beroperasi semula.
Menurut Dr Ronald, setakat ini sebanyak 208 daripada 312 Pasar Tani di seluruh negara telah mula beroperasi dan selebihnya akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga akhir tahun ini dengan mengadaptasi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pembukaan semula semua Pasar Tani sahaja di seluruh negara akan memberi manfaat kepada lebih 9,000 usahawan yang dijangka mampu menjana nilai jualan sehingga RM110 juta serta memberi peluang kepada 2.5 juta pelanggan mendapatkan produk agromakanan yang ditawarkan.
Terdahulu, Dr Ronald telah menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada 500 orang penduduk di tiga pulau (Pulau Kaniogan Beluran, Pulau Bukit Besi & Pulau Ketabuan) yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Secara keseluruhannya, sejak bulan Januari hingga 10 Oktober 2021, seramai 119,023 penerima telah direkodkan menerusi Program MAFI Prihatin di lebih 550 lokasi seluruh negara melibatkan 10 buah jabatan dan agensi di bawah MAFI dengan nilai bantuan melebihi RM6 juta.
Sehingga 9 Oktober 2021, pelaksanaan MAFI Prihatin melalui FAMA sahaja, telah memberi manfaat kepada 38,874 orang di 206 lokasi seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 84.61 tan metrik makanan telah disalurkan. Manakala di Sabah sahaja, pelaksanaan MAFI Prihatin melalui FAMA telah memberi manfaat kepada 1,113 orang di 7 lokasi seluruh negeri dengan nilai bantuan berjumlah RM 81 ribu.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles