KOTA KINABALU: Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah, Fairuz Renddan menyeru semua pihak untuk memanfaatkan peluang kebenaran rentas daerah yang bermula hari ini dan rentas negeri pada 1 November kelak dengan sebaiknya, khasnya bagi meningkatkan semula ekonomi persendirian dan negeri.
“ARMADA Negeri menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor kelmarin (13 Oktober 2021) dan kita merasakan perkara ini adalah amat wajar kerana sudah pasti masyarakat kita akan memanfaatkan peluang ini untuk bergerak, khasnya bagi mencari kembali sumber pendapatan dan meneroka peluang pekerjaan.
“Selain itu, saya yakin, ramai anak muda yang bekerja di bandar akan pulang ke kampung halaman, bagi berjumpa ibu ayah yang mungkin sudah lama tidak bersua kerana kekangan akibat daripada pandemik dan Sekatan Jalan Raya (SJR) di sempadan-sempadan setiap daerah.
“Namun harus diingat, kita perlu terus menjaga SOP kerana ibu bapa di kampung adalah golongan warga emas dan risiko mereka untuk dijangkiti COVID19 masih tinggi, namun semoga semuanya baik-baik sahaja hendaknya,” kata Fairuz.
Fairuz berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Fairuz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan turut menegaskan agar ibu bapa untuk menitik beratkan keselamatan anak-anak kecil khasnya di bawah umur 12 tahun yang dibawa bersama keluar.
“Ibu bapa mesti amat peka dan menjaga keselamatan anak-anak terutama yang kecil ini, yang masih belum menerima vaksin, kerana mereka adalah anak-anak yang masih lemah dan sebaiknya, jika tiada keperluan, kurangkan atau elakkan untuk membawa anak-anak kecil ini daripada bersesak di tempat awam, namun boleh jika ingin membawa anak beriadah di taman, bagi mengisi masa rehat, dan terus jaga kebersihan diri dan kesihatan dengan membuat pemantauan sekiranya melihat sebarang perubahan dari segi kesihatan anak-anak kita ini.
“Saya yakin rakyat amat gembira dan berbesar hati dengan pengumunan ini kerana ini sudah pasti melegakan banyak pihak, sama ada rakyat biasa, golongan belia yang mencari pekerjaan, ibu bapa di kampung halaman, murid-murid sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, bahkan pelbagai sekotor juga akan perlahan-lahan mulai berkembang semula,” jelas Fairuz lagi.
Tambahnya lagi, usaha kerajaan dalm memastikan pemberian vaksin kepada semua rakyat juga terus dijalankan dan semua rakyat yang mungkin masih belum menerima vaksin amat digalakkan untuk menerima suntikan vaksin COVID19 segera.
“Kita mahu semua rakyat di negeri ini, di negara tercinta kita Malaysia ini, terus selamat dan dilindungi, jadi kepada mereka yang masih belum menerima suntikan vaksin, ayuh berbuat demikian untuk kita lindungi diri kita, lindungi insan tersayang dan semua di sekeliling kita, insyaAllah,” ujar Fairuz lagi.