BELURAN: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, telah turun padang hari ini bagi menjayakan program Walkabout ke Rumah Peserta Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN), Lawatan Tapak Kilang Ais Batu Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran di Kg. Keramat. dan Penyerahan Bakul Makanan Nelayan.
Turut hadir dalam program walkabout ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Badrul Hisham Mohd, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Encik Yusoff Othman, Pengarah LKIM Sabah Encik Sundralingam A/L Nagaiah dan Pengerusi PNK Beluran Encik Uting Rahmat.
Dalam program ini, Dr Ronald telah meninjau rumah nelayan yang merupakan peserta Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di Kg. Kolapis Beluran. Ini adalah sebahagian daripada 200 buah rumah nelayan yang sedang dibaikpulih di kawasan ini di bawah tanggungjawab LKIM.
Bagi tahun 2021, MAFI melalui LKIM telah memperuntukkan sebanyak RM6.43 juta untuk baikpulih rumah nelayan dan pembinaan rumah baharu kepada nelayan bagi seluruh negara di bawah PKPN. Manakala, sebanyak RM3.45 juta pula telah diperuntukkan setakat ini bagi negeri Sabah sahaja untuk bantuan baik pulih rumah nelayan.
Projek PKPN dilaksanakan oleh LKIM bagi membantu nelayan yang berpendapatan rendah untuk membaikpulih rumah dan membina rumah baharu. Selain daripada itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat nelayan khususnya yang kurang berkemampuan.
Secara keseluruhan, selain PKPN, MAFI melalui LKIM telah memperuntukkan lebih RM 150 juta pada tahun ini bagi bantuan dan insentif kepada masyarakat nelayan seluruh negara yang merangkumi Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300.00 setiap bulan, Subsidi Minyak Diesel dan Petrol, Dana Nelayan, Tabung Bencana dan Kebajikan
Nelayan, Projek Tanaman Kotan, bantuan Projek Ekonomi Kumpulan Nelayan dan Program Food Basket Nelayan.
Bagi tahun 2021, LKIM juga telah menyalurkan peruntukkan sebanyak RM 500,000.00 untuk pembelian bangunan pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran dan RM 300,000.00 untuk pembinaan kilang ais batu di Kg. Keramat, Beluran bagi tujuan penyimpanan hasil tangkapan perikanan dan pemasaran ikan yang akan memberi manfaat kepada 2783 orang nelayan di kawasan ini.
PNK Beluran turut menerima peruntukan sebanyak RM100,000.00 di bawah Dana Khas Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang merupakan antara inisiatif dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi menjalankan perniagaan jualan ais batu.
Manakala, seramai 50 orang peserta nelayan di kawasan Beluran telah mendapat bantuan dan insentif secara ‘one-off’ di bawah Projek Tanaman Kontan dengan peruntukan berjumlah RM 100,000.00.
LKIM melaksanakan Program Pembangunan Pelan Peningkatan Pendapatan Golongan B40 Nelayan melalui Projek Tanaman Kontan bertujuan untuk memberi pendapatan sampingan kepada golongan nelayan melalui bantuan input pertanian yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta dengan sasaran peserta sejumlah 3,006 orang nelayan.
Dalam pada itu, Dr Ronald turut menyerahkan sumbangan bakul makanan (Food Basket) kepada 100 orang ahli nelayan PNK Beluran. Ianya sebagai sebahagian sumbangan MAFI Prihatin menerusi LKIM bersama-sama PNK bagi mengurangkan beban para nelayan yang terkesan dengan wabak COVID-19.
LKIM akan terus memainkan peranan sebagai agensi Kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang masa termasuk dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).