Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penggabungan bersama Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bagi membentuk Malaysia.
Sabah dipilih menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
Sambutan itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada malam Khamis ini.
Sambutan yang diadakan dalam norma baharu susulan pandemik Covid-19 itu dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menyorot kembali peristiwa kira-kira 58 tahun yang lalu, berikut ialah temubual eksklusif bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah/Menteri Kerja Raya Merangkap Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia Datuk Sri Bung Moktar Radin.
1. Hari Malaysia diraikan pada 16 Sept setiap tahun, apa pengertian Hari Malaysia ini kepada Datuk Seri dan rakyat Sabah secara amnya ?
JAWAPAN:
Sebagaimana kita sedia maklum setiap tahun tarikh 16 September merupakan Sambutan Hari Malaysia, hari yang signifikan bagi seluruh rakyat untuk memperingati usaha pemimpin serta rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada tahun 1963 untuk hidup bersama sebagai sebuah negara dan bangsa. Hari Malaysia memberikan makna yang cukup besar kepada rakyat kerana ia adalah detik penting dalam menyatukan rakyat di ketiga-tiga wilayah pada ketika itu.
Sejarah tanah air mencatatkan Sabah dan Sarawak tidak menyertai Malaysia secara paksa. Prosesnya bermula dengan perbincangan dan penyiasatan berhubung syarat sesuai bagi kedua-dua negeri itu menyertai Malaysia yang diadakan antara Mei 1961 dengan tarikh penubuhan Malaysia. Ia bagi menjamin kepentingan negeri terbabit.
Hasilnya pelbagai jawatankuasa dibentuk. Antaranya, Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Serantau di Singapura mewujudkan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia (MSCC) pada Februari 1962, dan sebuah suruhanjaya penyiasatan dibentuk pada Januari 1962, iaitu Suruhanjaya Cobbold yang dipengerusikan Lord Cameron Cobbold, bekas Gebenor Bank of England. Ahlinya ialah Tan Sri Wong Pow Nee dan Tun Muhammad Ghazali Shafie yang dilantik kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Antony Abell serta David Watherston mewakili Britain.
Tujuan utama suruhanjaya itu ialah meninjau pendapat penduduk Sabah dan Sarawak tentang gagasan Malaysia. Ia mendapati kira-kira 80 peratus penduduk negeri berkenaan menyokong penubuhan Malaysia. Suruhanjaya itu mencadangkan Perlembagaan Tanah Melayu yang ada dijadikan asas membentuk perlembagaan Persekutuan Malaysia baharu dengan beberapa pindaan untuk disesuaikan mengambil kira beberapa kepentingan khas ngeri Borneo terjamin.
Akhirnya terbentuklah jawatankuasa Antara-Kerajaan (IGC) yang bertanggungjawab menyusun Perlembagaan Persekutuan yang baharu dan perlindungan khas untuk Borneo Utara dan Sarawak. Ia dipengerusikan Lord Landsdowne dan timbalannya ialah Tun Abdul Razak Hussein. Anggota lain ialah Tun Muhammad Fuad Stephens, Datuk Abang Mustaffa, Tun Temenggung Jugah, seorang wakil British dan seorang wakil Persekutuan Tanah Melayu. Beberapa jawatankuasa kecil turut dibentuk. Sabah dan Sarawak turut mengkaji keperluan menyertai Malaysia dengan membuat beberapa tuntutan untuk menjaga kepentingan mereka. Tuntutan itu dikenali sebagai 20 Perkara Sabah dan ia adalah syarat-syarat Borneo Utara memasuki Malaysia. Kebanyakan syarat terbabit diterima dan dimasukkan dalam Perjanjian Malaysia.
2.Datuk Seri ada memori indah Hari Malaysia yang boleh dikongsikan ?
JAWAPAN:
Secara khusus tidak ada memori yang indah, bagaimanapun sebagai rakyat Malaysia yang dilahirkan di Sabah, bagi saya setiap kali menjelang 16 September kita meraikan Hari Malaysia, ianya merupakan satu memori yang indah untuk kita kenang apabila membaca sejarah perjuangan pemimpin terdahulu yang berjuang membentuk gabungan ini di mana Hari Malaysia bukan saja untuk memperingati fakta sejarah pembentukan Malaysia tetapi untuk memperingati semangat dan visi di sebalik pembentukan itu. Pembentukan Malaysia juga dilihat sebagai satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi para pemimpin di ketiga-tiga wilayah dalam usaha mencapai kemajuan, kesejahteraan dan keamanan bersama. Secara peribadi bagi saya memori yang indah ialah Sambutan Hari Malaysia kali ke-58 tahun ini, yang mana Sabah diberikan kepercayaan sebagai tuan rumah dan saya pula dilantik sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sambutan. Kita faham dalam setuasi negara berhadapan dengan Penularan Pandemik COVID-19 ketika ini ,termasuk di Sabah yang angkanya masih turun naik cabaran utama kita ialah bagaimana kita mengadakan sambutan dalam setuasi begini dengan pematuhan segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditatapkan sudah tentu ini merupakan cabaran utama kita, bagaimana pun sebagai rakyat Malaysia semangat ini kita kongsikan bersama pada sambutan kali ini. Hari Malaysia ke-58 kali ini tidak akan menetengahkan acara sambutan besar-besaran termasuk perbairsan yang menjadi perhatian rakyat Malaysia seperti sebelum ini . Walaupun sambutan kali ini kita lakukan dalam keadaan yang agak sederhana namun yang penting ialah semangat kita bukan sahaja memperingati hari yang bersejarah pembentukan Malaysia namun semangat cintakan negara terus terpahat disanubari setiap rakyat yang ada di negara ini .Sambutan yang sederhana ini tidak seharusnya seharusnya memudarkan semangat kemerdekaan kita, sebaliknya kita semua perlu menghayati erti kemerdekaan dalam lensa kebiasaan baharu.
3. Meraikan 58 tahun bersama membentuk Malaysia, Datuk Seri lihat sejauh mana Sabah membangun bersama Malaysia ?
JAWAPAN:
58 Tahun kita bersama membentuk Malaysia perkara pokok yang utama kita lihat ialah simbol penyatuan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, di mana seluruh rakyat menghormati antara satu sama lain dan menghargai keunikan kepelbagaian diversiti kaum dan etnik di Malaysia. Kita telah bersama menuju ke arah Malaysia yang makmur, maju dan gemilang, mempertahankan kedaulatan dan maju ke hadapan, dengan mengenapikan sentimen-sentimen negatif yang boleh menjejaskan kemajuan dan kemakmuran bersama
Dari aspek pembangunan insfrastruktur kita tidak menafikan kemakmuran dan kemajuan tersebut telah kita kongsi bersama antaranya kemudahan pendidikan,kesihatan ,kemudahan asas yang lain seperti sistem perhubungan jalanraya bekalan api luar bandar ,komunikasi dan lain-lain dimana kita masih bergantung kepada peruntukan dari kerajaan Pusat untuk menyediakan segala prasarana ini.
Perkara ini sebahagianya terkandung dalam perjanjian 1963, walaupun masih ada yang belum terlaksana, namun saya yakin dan percaya dengan semangat kerjasama serta hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan perkara ini akan dapat diselasaikan peringkat demi peringkat.
Apa yang penting ialah semangat kerjasama bukan sahaja diperingkat kerajaan negeri dan persekutuan tapi kepada seluruh rakyat di negeri ini dalam menjaga keharmonian dan kestabilan politik negara. Segala perancangan dan perlaksanaan program pembangunan negara amat bergantung kepada kestabilan politik. Apabila politik kita tidak setabil kerap berlakunya pertukaran kerajaan segala dasar yang dirancang sebelum ini akan bertukar dan ini sudah tentu turut menjejaskan usaha untuk membangunkan negara .Dalam keadaan ini, wacana dan naratif yang betul dan waras mengenai sejarah pembentukan Malaysia amat perlu disemai supaya sentimen negatif tidak terus bersemarak dan akhirnya melemahkan sistem persekutuan dan menghancurkan kedaulatan negara pada jangka panjang. Rakyat perlu faham akan nikmat yang diperoleh sejak Malaysia dibentuk, serta kesan dan implikasinya jika kita asyik bertelagah, tidak bersatu, dan lebih buruk lagi, jika mengambil tindakan untuk keluar Malaysia. Hakikatnya, ketika kesepaduan sosial perlu dikukuhkan, kita tidak harus lupa untuk mengukuhkan integrasi nasional. Perpaduan kaum dan perpaduan antara negeri dan tiga wilayah itu penting diperkukuh – bersatu teguh bercerai roboh. Sikap tolak ansur dan persefahaman perlu terus dipupuk dan dimantapkan. Kutuk-mengutuk, senda-mempersenda, menghina, memperlekeh pihak lain termasuk melalui media sosial menjejaskan kesepaduan sosial dan integrasi nasional.
4. Sabah berdepan cabaran COVID-19 tetapi dengan nilai kebersamaan dan Malaysia Prihatin kita di Sabah mampu tempuhi cabaran ini, Datuk Seri setuju ?.
JAWAPAN:
Alhamdulilah walaupun kita berhadapan dengan cabaran penularan Pandemik COVID-19 ketika ini, usaha demi usaha telah dilakukan oleh kerajaan dalam menangani penularan pandemik COVID-19 . Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakub dalam gagasannya membina ” Keluarga Malaysia” memberikan sinar baharu untuk rakyat di negeri ini. Gesaan beliau agar beberapa buah negeri di semananjung termasuk di Sabah diberikan perhatian khusus dalam menangani masalah COVID-19 menterjemahkan tema sambutan Hari Malaysia tahun ini iaitu ” Malaysia Prihatin” dilaksanakan. Kita faham dalam menghadapi saat sukar ini rakyat berhadapan dengan cabaran kesihatan dan ekonomi dan menyedari hakikat ini selain mempercepatkan proses pemberian vaksinasi kepada rakyat pelbagai bantuan dari kerajaan pusat dan negeri samaada bantuan dalam bentuk kewangan dan bakul makanan turut disalurkan kepada rakyat ,ini termasuklah usaha-usaha yang dilakukan oleh sektor korprat dan badan-badan NGO untuk sama-sama turut padang menyalurkan bantuan kepada rakyat yang terjejas ekoran penularan pandemik COVID-19 ini.
5. Walaupun belum menang sepenuhnya tetapi menjelang Hari Malaysia ini kita melihat ada sinar dalam usaha melawan COVID-19 antaranya vaksinasi semakin meningkat, pendapat Datuk Seri ?
JAWAPAN
Alhamdulilah data terkini yang saya terima lebih lima puluh peratus rakyat di negeri ini telah menerima Vaksin COVID-19 dan saya yakin dengan usaha berterusan bagi pemberian vaksinasi kepada rakyat di negeri ini angka tersebut akan terus meningkat. Kita menjangakan menjelang oktober tahun ini 80 peratus penduduk dewasa di negeri ini akan menerima vaksin dan selepas itu kita boleh memulakan pemberian vaksin kepada golongan remaja. Di kawasan bandar saya melihat kadar pemberian vaksinnya berjalan lancar malah ada beberapa buah daerah seperti Beaufort dan Putatan telah pun mencapai angka 100 peratus pemberian vaksin kepada penduduknya. Tumpuan kita sekarang ialah kepada penduduk dikawasan luar bandar dan pedalaman dengan mengadakan lebih banyak program “Mobile outreach” termasuklah penggunaan vaksin Covid-19 dos tunggal CanSino . Kita difahamkan Malaysia akan menerima 300,000 dos vaksin itu pada bulan ini dan Sabah sudah pesti akan menerima agihan sepatutnya daripada jumlah tersebut.
Kerajaan Pusat melalui Kementerian kesihatan juga memberikan jaminan akan membekalkan sebanyak 2,89 juta dos vaksin COVID-19 bulan ini dimana ini sudah pesti akan meningkatkan lagi kadar vaksinasi harian kepada 60,000 dos hingga 70,000 dos sehari bagi kita mencapai sasaran 60 peratus penduduk divaksin menjelang akhir bulan ini.
Dengan pertambahan bekalan vaksin dan tindakan proaktif kita untuk memberikan vaksin kepada rakyat di negeri ini ,saya yakin kita mampu mengakang penularan pandemik COVID-19 dan masyarakat boleh menjalani kehidupan seharian secara normal , disamping memulihkan keadaan ekonomi yang terjejas sebelum ini.
6. Datuk Seri menjadi Pengerusi bersama apabila Sabah menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia tahun ini, apa signifikannya dipilih sebagai tuan rumah tahun ini v
JAWAPAN:
Hari Malaysia yang kita raikan pada 16 September saban tahun tidak kurang pentingnya dengan sambutan hari Kemerdekaan ianya perlu dijiwai oleh seluruh rakyat tanpa menira bangsa agama dan edeologi politik Kita harus komited mengubah mentaliti segelintir rakyat yang masih tidak peduli signifikan Hari Malaysia. Signifikanya Hari Malaysia ianya bukan sekadar memperingati detik sejarah penubuhan Malaysia semata-mata rakyat di kedua-dua negeri Sabah dan S Sarawak sudah tentu menginginkan sesuatu yang lebih signifikan dalam kontek pembinaan negara bangsa unggul dalam menitikberatkan kepentingan dan peranan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia. Menerusi Malaysia baharu (perubahan kerajaan) sudah pasti rakyat Sabah dan Sarawak mengharapkan yang lebih baik dari kerajaan sebelumnya agar negeri ini lebih maju dan tidak tertinggal dalam arus pembangunan nasional.
Hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri serta urus tadbir yang baik akan menjadi aspek penting dalam memastikan segala perancangan pembangunan dan pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik,
7 Apa keistimewaan sambutan di Sabah pada kali ini ?
JAWAPAN:
Walau di mana sambutan diadakan, semangat rakyat Malaysia di Sabah terus berkobar-kobar untuk memastikan penganjuran kali ini lancar demi membuktikan komitmen, kesetiaan dan solidariti kepada Malaysia Walaupun acara kita agak sederhana kali ini ekoran penularan pandemik COVID-19 namun acara ini terpenting bagi kita untuk memperingati pembentukan sebuah negara dan kini kita mengecapi kemakmuran di dalam negara ini yang dibentuk tiga entiti Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi yang sama rata.
Pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sambutan tahun ini sudah tentu satu keistimewaan kepada rakyat di negeri Sabah dimana generasi muda akan memahami detik bersejarah yang diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu yang memerlihatkan penyataan Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah,Sarawak dan sebelum ini Singapura .Kesan dari penyatuan tersebut mereka (generasi muda) hari ini turut menikmati nikmati kemakmuran dan kemajuan atas nama sebuah negara Malaysia.
8 Datuk Seri boleh ceritakan sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Kota Kinabalu pada 16 September ini ?
JAWAPAN:
Walaupun seperti saya jelaskan sebelum ini sambutan kali ini agak sederhana namun pelbagai acara turut kita sediakan pada malam sambutan nanti antaranya Majlis Menandatangani Buku Khas Sambutan hari Malaysia tahun 2021, Tayang Montaj “ Malaysia Prihatin dan pesembahan Khas “ Malaysia Prihatin” oleh artis-artis dari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.Majlis ini akan turut dihadiri bersama oleh Tuan Yang Terutama yang Dipertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima (DR) Haji Juhar Haji Mahiruddin dan Yang Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Panglima (DR) Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R.M Jasni, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Mohd Nor, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Menteri Komuniaksi dan Multimedia Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa dan lain-lain dif jemputan.
Pengisian lain yang telah kita laksanakan antaranya ialah kempen Kibarkan Jalur Gemilang di seluruh daerah dan Majlis tahlil sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.
9 Apa harapan Datuk Seri sempena Hari Malaysia tahun ini ?
JAWAPAN
Hari Malaysia adalah simbol penyatuan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, di mana seluruh rakyat harus menghormati antara satu sama lain dan menghargai keunikan kepelbagaian diversiti kaum dan etnik di Malaysia. Oleh itu kita harus bersama menuju ke arah Malaysia yang makmur, maju dan gemilang, pertahankan kedaulatan dan maju ke hadapan, usahlah kita membawa sentimen-sentimen negatif yang boleh menjejaskan kemajuan dan kemakmuran bersama Dalam keadaan ini, wacana dan naratif yang betul dan waras mengenai sejarah pembentukan Malaysia amat perlu disemai supaya sentimen negatif tidak terus bersemarak dan akhirnya melemahkan sistem persekutuan dan menghancurkan kedaulatan negara pada jangka panjang. Rakyat perlu faham akan nikmat yang diperoleh sejak Malaysia dibentuk, serta kesan dan implikasinya jika kita asyik bertelagah, tidak bersatu, dan lebih buruk lagi, jika mengambil tindakan untuk keluar Malaysia. Selain perlu memperkukuhkan persepaduan sosial dan integrasi nasional, kita juga tidak harus lupa untuk untuk memgembalikan hak-hak yang telah dipersetujui bersama.