Kerajaan Hargai Sumbangan Peladang, Penternak, Nelayan Jadi Pengeluar Utama Bekalan Makanan Negara

PUTRAJAYA: Dalam keadaan norma baharu, sambutan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan (HPPN) Ke-46 pada hari ini tetap diraikan sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan Peladang, Penternak dan Nelayan yang menjadi pengeluar utama bekalan makanan negara.
Sambutan Hari Peladang Penternak Dan Nelayan disambut di Dungun, Terengganu pada 6 Ogos 1972. Ianya telah diisytiharkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein, Perdana Menteri Malaysia Ke-2 sempena GERAKAN PEMBAHARUAN yang berlangsung di Dungun, Terengganu hari ini.
Sempena sambutan HPPN, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah melaksanakan sambutan secara maya melalui penganjuran Webinar oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang menjadi platform perkongsian maklumat dan penjelasan mengenai pelbagai isu, cabaran dan peluang yang dihadapi oleh peladang, penternak dan nelayan dalam mendepani COVID-19.
Pada sambutan HPPN secara maya ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapannya bagi menzahirkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan peladang, penternak dan nelayan yang menjadi pengeluar utama bekalan makanan negara.
Perdana Menteri turut memanjatkan rasa kesyukuran kerana Malaysia masih mempunyai stok bekalan makanan yang stabil dan terjamin walaupun negara berdepan dengan pandemik COVID-19.
“Kesemua ini adalah hasil daripada komitmen dan usaha berterusan tanpa mengenal penat lelah para peladang, penternak dan nelayan yang pada hakitkatnya adalah petugas barisan hadapan atau frontliners kita dalam sektor agromakanan negara”, kata beliau.
Perdana Menteri turut menyatakan bahawa golongan Peladang, Penternak dan Nelayan tidak pernah dipinggirkan, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar peruntukan khas kepada MAFI iaitu dengan nilai RM640 juta dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), dan Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
“Kerajaan terus menyediakan peruntukan besar kepada MAFI setiap tahun. Menerusi Bajet 2021, sejumlah RM4.79 bilion telah diperuntukkan kepada MAFI untuk terus merancakkan lagi sektor pertanian dan industri makanan negara. Khusus buat 300,000 orang pesawah, sejumlah RM1.53 billion peruntukan diluluskan bagi subsidi dan insentif pengeluaran padi negara”, kata YAB Perdana Menteri.
Bagi menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kerajaan telah mengkategorikan semua aktiviti dan perkhidmatan dalam rantaian pengeluaran makanan sebagai `Perkhidmatan Perlu’ (essential services) untuk memastikan bekalan makanan sentiasa terjamin dalam tempoh pandemik COVID-19 yang begitu mencabar ini.
MAFI juga akan melaksanakan Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AiVAC) bagi membantu Kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi terhadap kumpulan sasar
sektor agromakanan yang meliputi individu, syarikat termasuk ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengumumkan perkara ini dalam ucapan alu-aluannya sempena sambutan HPPN yang disampaikan secara dalam talian.
Menurut Dr Ronald, MAFI akan melaksanakan AiVAC dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) yang akan melibatkan semua Jabatan dan Agensi di bawah MAFI di peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah termasuk PPK dan PNK.
Melalui program ini, beliau berkata MAFI menjangkakan semua barisan hadapan sektor agromakanan akan lengkap divaksinasi menjelang November 2021. Sebelum ini, MAFI juga telah menyokong dan memudahcara proses vaksinasi melalui syarikat-syarikat dalam sektor agromakanan melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Tambah Dr Ronald, MAFI sentiasa prihatin dengan keperluan para peladang, penternak dan nelayan. Kesemua peruntukan sama ada berbentuk peruntukan pembangunan semasa dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), mahupun peruntukan-peruntukan khas yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri adalah bagi membantu para peladang, penternak dan nelayan untuk meneruskan projek dan aktiviti pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran.
Beliau berkata pelbagai bantuan bersasar di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan bagi membantu pengusaha sektor agromakanan yang terkesan termasuk mereka yang mengusahakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk kembali pulih dan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing.
Sambutan HPPN 2021 hari ini diteruskan dengan sesi Webinar HPPN yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh. Dua kertas kerja turut dibentangkan dalam webinar ini oleh YBhg. Dato’ Haslina Binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI dan YBhg. Dato’ Azulita Binti Salim, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang.
Sesi webinar ini juga turut menyaksikan perkongsian pengalaman telah disampaikan oleh Encik Abdul Hafidz bin Win, Usahawan Peladang Pertubuhan Peladang Kawasan Muar Selatan, Johor dan Encik Tuan Rozi bin Tuan Hussin, Usahawan Nelayan Pasar Nelayan Pulau Gajah.
Penganjuran webinar ini diharapkan dapat membantu peladang, penternak dan nelayan untuk melonjakkan sektor agromakanan ke satu dimensi yang lebih kompetetif, efektif dan berdaya saing dari permulaan aktiviti pengeluaran, lepas tuai, pemborongan, peruncitan serta pengedaran agar sektor ini berkembang dengan lebih pantas.
Kerajaan yakin pelbagai inisiatif dan insentif yang disediakan akan menjadi pemangkin membantu Negara dalam pembangunan Industri agromakanan bagi keseluruhan rantaian aktiviti pengeluaran makanan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles