KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah dijangka mengumumkan dalam masa terdekat beberapa langkah dan inisiatif baharu bagi memastikan kelancaran program vaksinasi di negeri ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata keutamaan sekarang ialah untuk meningkatkan pemberian vaksin dikalangan penduduk.
“Ini bermakna kita memerlukan bekalan vaksin yang cukup sepanjanag masa,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Masidi berkata jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah hari ini mencecah angka 1,291.
Menurut beliau, empat daerah di Sabah mencatatkan kes tiga digit iaitu Kota Kinabalu 282, Tawau 177, Penampang 131 dan Papar 112.
Lima daerah pula merekod jumlah kes harian melebihi 50, Tuaran 96, Sandakan 72, Sipitang 54, Beaufort 54 dan Keningau 52, katanya.
Masidi berkata empat daerah melepasi 20 kes harian iaitu Kinabatangan 21, Kota Belud 28, Putatan 31 dan Ranau 40.
“Tidak ada daerah yg kes sifar (hari ini),” katanya.
Beliau berkata kontak rapat kekal penyumbang utama kpd kes harian di negeri Sabah iaitu 772 kes atau hampir 60 peratus.
“Tetapi kes bergejala (sporadik) juga kekal tinggi, yakni 299 atau 23.2%. Di daerah Kota Kinabalu, 107 daripada 282 yang dicatat hari ini adalah melalui saringan bergejala, yakni 38%. Di Tuaran, 35 peratus dpd jumlah kes juga dpd kategori bergejala,” katanya.
Masidi berkata kluster sedia ada menyumbang 70 kes (5.4%) daripada jumlah kes keseluruhan dan 73 (5.6%) daripada saringan bersasar di lokaliti-lokaliti PKPD.
“1,180 daripada 1,291 kes hari ini adalah dalam kategori 1 & 2. Dua pesakit adalah adalah dalam kategori 4 dan seorang (dalam kategori 5 yang memerlukan rawatan rapi (ICU),” katanya.