KOTA KINABALU: Impian England untuk mencipta sejarah kejuaraan bola sepak Eropah (Euro 2020) tidak kesampaian apabila tewas 2-3 kepada Itali menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Wembley awal hari ini.
Selepas bertarung habis-habisan selama 120 minit dan kedua-dua pasukan masih terikat 1-1, akhirnya perlawanan mendebarkan itu ditentukan menerusi tendangan penalti.
Namun aksi cemerlang penjaga gol Itali Gialuigi Donnarumma yang menyelamatkan sepakan penalti Jadon Sancho dan Bukayo Saka membenamkan harapan England merangkul kejuaraan Euro 2020 buat pertama koli sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 1960.
Pasukan tuan rumah mula bertindak garang sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan dan berjaya mendahului Itali 1-0 seawal minit kedua menerusi pemain bek kiri Luke Shawl yang menerima hantaran kemas pemain Atletico Madrid, Kieran Trippier.
Jaringan berkelas dunia itu seakan-akan memberi harapan awal kepada England untuk merealisasi misi mereka untuk menjulang mahkota Euro 2020.
Selepas jaringan awal itu, kedua-dua pasukan melakukan serangan bertali arus sehingga tamat babak pertama perlawanan.
Pada babak kedua, penyerang Itali Federico Chiesa sekali lagi menguji gawang England menerusi sepakan deras namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol England Jordan Pickford.
Ketabahan Itali mencari gol penyamaan akhirnya tiba pada minit ke-67 menerusi sepakan Leonardo Bonucci dalam keadaan kelam kabut di kawasan kotak penalti England selepas sepakan sudut.
Akhirnya impian pasukan England pimpinan Gareth Southgate berkecai dan bertukar menjadi “mimpi tarang bulan”, sekali gus mengecewakan hampir 60,000 penyokong yang berada di Stadium Wembley dan jutaan peminat pasukan England termasuk mereka yang menonton sambil “kupi-kupi” di premis-premis perniagaan di negara inggris itu.