KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) dan 17 gabungannya menerima geran berjumlah RM2.55 juta daripada kerajaan negeri yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Alfred Angin di Arena Belua di Kepayan, hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, geran tersebut adalah bagi membantu mereka menjalankan program pembangunan belia dan menyelaraskan aktiviti sokongan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain itu, kata Hajiji, di bawah Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM500,000 untuk melaksanakan program Dapur Belia 4.0 (Youth Kitchen) yang diselaraskan oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah.
“Pada siri sebelumnya, MBS bersama badan gabungannya dan kelab belia terpilih di seluruh Sabah telah mengagihkan bakul makanan, pek tenaga untuk barisan hadapan dan pelbagai bantuan lain kepada mereka yang terjejas akibat PKP oleh pandemik berkenaan.
“Antara yang menjadi sasaran menerusi Program Dapur Belia 4.0 kali ini adalah belia yang terbabit dalam industri ‘gig economy’ iaitu Food Panda Walkers yang menerima 250 bakul makanan dan 70 topi keledar.
“Dapur Belia 4.0 adalah sinergi antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat untuk meluaskan program ini ke seluruh Sabah, terutama bagi membantu golongan belia yang terjejas, ” katanya.
Bagi program Dapur Belia 4.0, Hajiji berkata setakat ini sebanyak 65 peratus bantuan telah diberikan kepada yang disasarkan.
“Dalam masa sama, lebih daripada 2,000 orang telah datang ke Bank Makanan (Food Bank) di Arena Belia untuk mendapat bantuan makanan, ” katanya.
Di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulih Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan baru-baru ini, Hajiji berkata, kerajaan telah memperluaskan elaun pencari kerja kepada bukan pencarum PERKESO khususnya dalam kalangan graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja di sektor tidak formal.
“Penyediaan jaringan keselamatan sosial kepada belia Sabah yang kehilangan pekerjaan sangat penting dalam menyokong aspek industri dan sosio-ekonomi kumpulan ini.
“Sehingga Disember 2020, PERKESO Sabah telah memberikan bantuan berjumlah RM16.8 juta kepada 4,434 pekerja kehilangan pekerjaan, dan sehingga April tahun ini, sejumlah RM3.8 juta elaun bantuan telah disalurkan kepada 851 belia yang kehilangan pekerjaan di negeri ini, ” katanya sambil menambah program jaringan keselamatan sosial merangkumi semua sektor termasuk dalam ‘gig economy’.
Dalam pada itu Hajiji turut memuji inisiatif Kementerian Belia dan Sukan Sabah bersama MBS dan PERKESO untuk membantu belia yang kehilangan pekerjaan ketika PKP menerusi portal MyFutureJobs.
“Portal ini berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyediakan rujukan bagi pencari kerja selain menawarkan padanan pekerjaan dan program pasaran pekerjaan yang aktif bermula daripada penempatan pekerjaan, perundingan kerjaya serta kaunseling kepada mereka yang mengalami kesukaran, ” katanya.
Pada majlis itu, Hajiji turut menyaksikan penyerahan replika cek daripada PERKESO sebanyak RM265,180 kepada kepada dua majikan sebagai insentif untuk mengadakan program latihan kepada pekerja mereka.