TAMBUNAN : Program Hari Keluarga bukan sekadar acara berkumpul, bersukan dan berhibur, sebaliknya ia merupakan jambatan yang menghubungkan sekolah, ibu bapa dan masyarakat dalam usaha mendidik anak-anak.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Dato’ Victor Peter Paut berkata, membesarkan dan mendidik anak-anak bukanlah tanggungjawab guru semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak.
“Guru mendidik di sekolah, ibu bapa membimbing di rumah, manakala masyarakat menyediakan persekitaran yang baik untuk anak-anak membesar.
“Apabila sekolah, keluarga dan masyarakat bersatu hati, kita bukan sahaja melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam akademik, tetapi juga generasi yang mempunyai disiplin, nilai kemanusiaan, keyakinan diri dan rasa hormat terhadap orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Hari Keluarga Sekolah Kebangsaan Lotong Tambunan 2026, di sini pada Isnin.
Victor turut menyampaikan pesanan kepada murid-murid SK Lotong agar tidak takut untuk mempunyai impian yang besar dan tidak merasakan mereka tidak mampu berjaya hanya kerana berasal dari kawasan kampung atau pedalaman.
Menurutnya, kejayaan seseorang bukan ditentukan oleh tempat dia dilahirkan, tetapi oleh usaha, disiplin, keberanian dan kesungguhan untuk mencapai cita-cita.
“Mungkin hari ini kamu hanya seorang murid sekolah rendah di SK Lotong, tetapi suatu hari nanti, antara kamu mungkin menjadi doktor, guru, jurutera, usahawan, pemimpin masyarakat atau pemimpin negara.
“Jadi, belajarlah bersungguh-sungguh, hormati ibu bapa, hargai jasa guru dan jangan mudah berputus asa. Jangan biarkan keadaan hari ini membataskan impian kamu untuk hari esok,” katanya.
Dalam pada itu, Victor yang juga merupakan Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) DUN Tambunan itu turut mengucapkan penghargaan kepada guru-guru, ibu bapa dan warga pendidik atas pengorbanan dan komitmen mereka dalam memastikan pendidikan anak-anak terus diberi perhatian.
Sebagai pemimpin politik dan masyarakat di Tambunan, beliau menegaskan pembangunan sesebuah daerah bukan hanya bergantung kepada pembangunan jalan raya, bangunan atau kemudahan fizikal.
“Pembangunan yang paling penting ialah pembangunan manusia.
Kita memerlukan generasi yang berilmu, berkemahiran, mempunyai jati diri dan mampu bersaing pada masa hadapan.
“Sebab itulah pendidikan harus menjadi keutamaan kita bersama, tanpa mengira latar belakang, bangsa, agama mahupun fahaman politik,” katanya lagi.
Beliau berharap hubungan baik antara pihak sekolah, PIBG, ibu bapa dan masyarakat setempat akan terus diperkukuhkan, bukan hanya ketika ada program, tetapi diteruskan dalam kehidupan seharian.
“Sekolah yang hebat bukan hanya kerana bangunannya, tetapi kerana guru-gurunya yang berdedikasi, ibu bapanya yang prihatin dan masyarakatnya yang sentiasa memberikan sokongan,” katanya.
Beliau turut berharap Program Hari Keluarga SK Lotong Tambunan 2026 berjalan lancar, penuh kegembiraan dan meninggalkan kenangan manis kepada semua yang hadir.
Majlis itu turut dihadiri PPD Daerah Tambunan, Johari Ag Damit, Guru Besar SK Lotong, Eric Intiang, barisan Penolong Kanan, guru-guru, Yang Dipertua PIBG, Jabita Joachim dan jawatankuasa, ibu bapa, tetamu jemputan serta murid-murid sekolah berkenaan.
