Oleh: Jaafar Abd Wahid
SANDAKAN: Kerisauan penduduk di kawasan perumahan Polis Taman Tinosan Batu 4 dekat sini yang mengalami gangguan bekalan air akhirnya reda apabila masalah tersebut mendapat perhatian Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Bung Moktar Radin yang turun padang melihat masalah tersebut.
Perkara yang merisaukan penduduk di kawasan tersebut ialah apabila berlakunya gangguan bekalan air yang memakan masa berhari-hari disebabkan kerosakan tangki utama tempat penyimpan air yang membekalkan air ke kawasan perumahan mengalami kerosakan.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya semasa lawatan tersebut meminta Jurutera Daerah Jabatan Air Sandakan agar mengemukakan laporan dan mengemukakan permohonan peruntukan keibu pejabat Jabatan Air agar masalah di kawasan tersebut dapat ditangani segera.
“Dalam lawatan ini saya dapati keadaan tangki di kawasan ini sudah tidak berfungsi ada yang pecah yang perlu diganti dan diperbaiki segera sebagai pusat simpanan Air yang akan membekalkan air ke kawasan perumahan Polis termasuk ibu Pejabat Polis di sini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke kawasan tersebut baru baru ini.
Turut serta dalam lawatan tersebut Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Azhar Mohd Hamin, Timbalan Setiausaha Tetap I Kementerian Kerja Raya Benedict Asmat dan Jurutera Air Daerah Sandakan Duane Alvin William.
Menurut Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan masalah bekalan air di kawasan tersebut akan berfungsi tanpa gangguan apabila kerja-kerja pembaikan dan pengantian tangki baru dilaksanakan dalam tempoh terdekat sebaik sahaja laporan dan permohonan peruntukan diluluskan kelak.