KOTA BELUD: Kira-kira 70 petugas barisan hadapan menerima sumbangan sempena Program Tanggungjawab Sosial (CSR) MAFI Prihatin oleh FAMA Sabah di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Tun Said, di sini hari ini.
Majlis penyerahan itu disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Japlin Akim.
Japlin berkata, sumbangan tersebut merupakan tanda terima kasih dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani gelombang ketiga pandemik Covid-19 ketika ini.
“Sumbangan ini diharap mampu memberi semangat kepada petugas-petugas di PPV Kota Belud untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.
“Terima kasih juga kepada rakyat yang membantu kerajaan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kita sama-sama berdoa semoga penurunan kadar jangkitan ini berterusan dan terus bekerjasama melandaikan jangkitan wabak ini,” kata Japlin yang juga merupakan Ketua Bahagian BERSATU Kota Belud.
Turut hadir ialan Pengarah Fama Sabah, Ribin Wahid.
Japlin berkata, meskipun negara masih belum berjaya sepenuhnya menangani wabak Covid-19, namun semua itu tidak boleh dijadikan alasan kepada masyarakat setempat menjaga keselamatan dan kesihatan.
Jelasnya, bagi menjaga keselamatan dan kesihatan diri, masyarakat perlu patuh SOP dengan memakai pelitup muka, melakukan sanitasi tangan dan menjaga penjarakan fizikal.
Sumbangan berbentuk barangan makanan segar turut disampaikan untuk di agihkan kepada para doktor, jururawat serta petugas yang bertungkus-lumus memastikan pemberian vaksin berjalan dengan lancar.
“Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan kempen lebihkan makan buah-buahan dan sayuran tempatan yang mana dapat meningkatkan imunisasi badan dan sumber vitamin yang diperlukan untuk melawan penyakit,” tambah Japlin lagi.
Dalam pada itu, Japlin turut menyokong penuh Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
“Nilai keseluruhan RM150billion pasti dalam dimanfaatkan untuk kesemua tiga fokus utama PEMULIH iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.
“Selain itu, banyak lagi manfaat lain khas untuk rakyat dari pelbagai kategori pasti mampu membantu meringankan beban takkala pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” tambahnya lagi.