Oleh Datuk Ts Dr. Hj Ramli Amir, bekas Presiden Institut Memindahkan Pasar Besar KK: Bukan Sekadar Pasar, Tetapi Menyusun Semula Logistik Bandaraya Logistik dan Pengangkutan (CILT) Malaysia
KOTA KINABALU: Cadangan Kerajaan Negeri untuk memindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu keluar dari pusat bandar wajar dilihat daripada perspektif yang lebih luas daripada sekadar mencari tapak baharu.
Ia sebenarnya membuka peluang untuk Kota Kinabalu menyusun semula bagaimana makanan, barangan, kenderaan komersial dan manusia bergerak dalam bandaraya.
Dua tapak sedang dipertimbangkan — tanah kerajaan negeri seluas 40 ekar di sepanjang Jalan UMS, Alam Mesra, dan satu lagi berhampiran Kampung Likas di Jalan Tun Fuad Stephens.
Bagi Alam Mesra, cadangan awal termasuk pasar basah dan kering, pusat produk tempatan dan pelancongan, pusat penjaja serta jeti ikan.
Persoalan penting sekarang bukan hanya di mana pasar baharu harus ditempatkan, tetapi apakah kesannya terhadap keseluruhan sistem logistik di Kota Kinabalu?
Mengeluarkan Sebahagian Trafik Logistik dari Pusat Bandar
Pasar besar merupakan pusat pergerakan barangan. Setiap hari ikan, sayur-sayuran, daging, buah-buahan dan barangan kering dibawa masuk menggunakan lori, van dan pikap.
Kemudian berlaku aktiviti memunggah, menyusun, menyimpan dan mengagihkan barangan kepada peniaga, restoran, hotel, penjaja serta pengguna.
Memindahkan pasar keluar dari pusat bandar berpotensi mengurangkan sebahagian pergerakan kenderaan komersial tersebut daripada CBD Kota Kinabalu.
Namun, kita perlu berhati-hati dengan satu perkara: memindahkan pasar tidak semestinya mengurangkan trafik. Kita mungkin sekadar memindahkan kesesakan dari satu kawasan ke kawasan lain.
Jika Alam Mesra dipilih, contohnya, Jalan UMS dan rangkaian jalan di sekitarnya akan menerima trafik baharu daripada lori, pemborong, peniaga, pekerja dan pelanggan pasar.
Oleh itu, sebelum tapak dimuktamadkan, kajian trafik perlu melihat bukan sahaja jumlah kenderaan tetapi juga corak pergerakan barangan.
Daripada Pasar kepada Hab Logistik Makanan
Tapak Alam Mesra seluas 40 ekar memberikan satu peluang menarik. Daripada membina sebuah pasar konvensional yang lebih besar, kerajaan boleh mempertimbangkan pembangunan sebuah Integrated Food and Urban Logistics Hub.
Pasar menjadi komponen utama, tetapi di belakangnya diwujudkan ekosistem logistik yang merangkumi kawasan penerimaan barangan, pasar borong, cold storage, kemudahan ais, packaging, consolidation dan distribution.
Rantaian bekalannya boleh dirancang seperti berikut:.
Nelayan/Petani/Pembekal → Hab Pengumpulan → Penyimpanan → Pasar Borong → Pasar Runcit → Hotel/Restoran/Penjaja → Pengguna.
Cadangan menyediakan jeti ikan juga sangat signifikan. Sekiranya sesuai dari segi teknikal, ikan boleh didaratkan, digred, disejukkan dan diedarkan daripada satu kawasan yang terancang. Ini boleh mengurangkan double handling, meningkatkan kecekapan rantaian sejuk dan membantu mengekalkan kualiti produk.
Pasar baharu dengan itu bukan lagi sekadar tempat orang membeli ikan dan sayur. Ia menjadi sebahagian daripada infrastruktur keselamatan makanan Kota Kinabalu.
Asingkan Trafik Barangan dan Trafik Pengguna
Reka bentuk pasar baharu juga perlu bermula daripada pemahaman mengenai aliran logistik.
Lori penghantaran tidak sepatutnya berkongsi sepenuhnya sistem pergerakan yang sama dengan kereta pelanggan. Begitu juga, aktiviti pendaratan ikan, cold storage dan pasar borong perlu mempunyai zon operasi tersendiri.
Secara mudah, pembangunan boleh dibahagikan kepada tiga aliran:
Freight Zone: receiving, unloading, wholesale, cold storage dan distribution.
Public Zone: pengangkutan awam, parking, pasar runcit dan aktiviti pengguna.
Fishery Zone: jetty, fish landing, grading, ice plant dan cold-chain facilities.
Jika ketiga-tiga aliran ini dirancang dengan baik, pasar boleh beroperasi dengan lebih cekap tanpa mewujudkan konflik trafik dalaman.
Kesan kepada Kawasan Alam Mesra
Pasar sebesar ini juga akan mengubah kawasan sekitarnya.
Aktiviti ekonomi baharu akan muncul — restoran, kedai, gudang kecil, cold storage, bengkel, pengangkutan, pembungkusan dan kemudahan pekerja.
Ini boleh menjadi pemangkin pembangunan koridor utara Kota Kinabalu dari Likas melalui UMS dan Alam Mesra sehingga ke Sepanggar dan KKIP.
Tetapi pembangunan yang tidak dikawal boleh membawa kesan sebaliknya: parking di tepi jalan, pembangunan berderet, kesesakan, masalah sampah, serta tekanan terhadap sistem saliran dan infrastruktur tempatan.
Sebab itu projek ini memerlukan bukan sahaja pelan induk pasar tetapi Integrated Market and Surrounding Area Development Plan.
Bagaimana dengan Tapak Pasar Lama?
Pemindahan Pasar Besar KK juga membuka satu lagi peluang besar — pembangunan semula tapak sedia ada.
Lokasinya di pusat bandar dan waterfront mempunyai nilai strategik yang tinggi. Tetapi tapak tersebut tidak semestinya harus dilihat hanya daripada nilai komersial tanah.
Ia boleh menjadi sebahagian daripada usaha menghidupkan semula waterfront Kota Kinabalu melalui ruang awam, kawasan makanan, produk tempatan, kebudayaan, pelancongan, aktiviti pejalan kaki dan ekonomi malam.
Prinsipnya mudah:
Pindahkan fungsi logistik berat, tetapi jangan pindahkan jiwa kawasan tersebut.
Identiti Pasar Besar sebagai sebahagian daripada sejarah dan kehidupan masyarakat Kota Kinabalu boleh diterjemahkan dalam pembangunan baharu walaupun operasi pasar utama telah berpindah.
Perspektif Logistik Perlu Masuk dari Awal
Inilah sebabnya projek ini wajar mendapat perhatian daripada Sabah Logistics Council.
Persoalannya bukan mengenai reka bentuk bangunan pasar, tetapi mengenai bagaimana makanan dan barangan bergerak masuk, keluar dan melalui Kota Kinabalu.
Sebelum keputusan muktamad dibuat, kita perlu mengetahui dari mana barangan datang, berapa banyak tan yang bergerak setiap hari, jenis kenderaan yang digunakan, waktu puncak penghantaran, keperluan cold chain dan ke mana barangan bergerak selepas meninggalkan pasar.
Dengan kata lain:
Map the supply chain → map the freight flows → model the traffic → determine infrastructure requirements → then determine the most suitable site and design.
Jangan tentukan tapak terlebih dahulu, kemudian cuba menyelesaikan masalah trafik dan logistik yang timbul.
Jika pendekatan ini digunakan, pemindahan Pasar Besar Kota Kinabalu boleh menjadi lebih daripada projek pembangunan sebuah pasar baharu.
Ia boleh menjadi peluang pertama untuk Kota Kinabalu membangunkan pendekatan Urban Logistics Planning yang lebih sistematik — menghubungkan perancangan bandar, pengangkutan, rantaian bekalan makanan, cold chain dan pembangunan ekonomi.
Akhirnya, persoalannya bukan sekadar “ke mana kita hendak memindahkan Pasar Besar KK?”
Persoalan yang lebih strategik ialah:
“Bagaimana kita mahu memastikan barangan, makanan dan manusia bergerak di Kota Kinabalu untuk 20 atau 30 tahun akan datang?”
Jawapan kepada persoalan itulah yang seharusnya menentukan bentuk dan lokasi Pasar Besar Kota Kinabalu yang baharu.
