Oleh Kolonel (PA) Profesor Madya Dr Mohamad Nizam Nazarudin
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tidak akan ditamatkan sebaliknya, fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan diteruskan sehingga jumlah jangkitan harian Covid-19 kurang daripada 4,000 kes. Namun begitu rakyat Sabah telah mendapat berita baik apabila Kerajaan Negeri Sabah membenarkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka bermula hari ini sempena pelaksanaan fasa pertama PPN Walau bagaimanapun, sebahagian besar standard operasi prosedur (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikekalkan. Bagi pengemar sukan dan riadah pula, aktiviti yang tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal  adalah dibenarkan.
Namun perincian SOP terbaharu masih belum dikeluarkan lagi. Ini telah menimbulkan pertanyaan di kalangan pengemar sukan dan riadah seperti adakah aktiviti senaman, jogging dan  berbasikal masih di dalam kawasan kejiranan, dalam jarak 10km atau dalam zon yang ditetapkan?. Jika semasa PKPB yang lalu, SOP bagi aktiviti senaman, jogging, berbasikal, sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal dijalankan secara individu atau jika di dalam kumpulan ia tidak melebihi 10 orang.
Walau apa pun SOP yang bakal di keluarkan nanti, setiap pengemar sukan dan riadah perlulah memastikan SOP asas ini perlu terus dipatuhi:
1. Penjarakan Sosial
Memastikan penjarakan sosial antara individu adalah sekurang-kurangnya 1 meter pada bila-bila masa. Jika anda berbasikal pula digalakkan jarak antara basikal adalah sekurang-kurangnya 10 meter jika bergerak dengan laju. Ini bagi memastikan penunggang di belakang tidak akan terkesan dari penunggang dihadapan. Penggunaan topi basikal bervisor turut digalakkan. Elakkan melakukan aktiviti di tempat-tenmpat yang sesak atau pada masa puncak.
2. Bilangan orang.
Bagi memastikan tidak berlakunya perkumpulan yang besar maka adalah dicadangan untuk tidak beriadah dalam kumpulan yang besar maka dicadangan dimulakan dengan berjogging atau berbasikal secara individu atau berpasangan dan jika terpaksa maka paling maksimum adalah 5 orang. Ini juga bersesuaian jika aspek keselamatan diambil kira. Berdasarkan pemerhatian yang lepas, apabila aktiviti berbasikal dibenarkan maka akan ada kumpulan-kumpulan yang besar memenuhi jalanraya. Kumpulan ini didapati lebih bercirikan rekreasi dan akan berkumpul beramai-ramai untuk bersosial termasuklah mengambil gambar di setiap perhentian. Adalah sebaik-baiknya tetapkan laluan mula dan tamat serta kurangkan tempat persinggahan.
3. Etika
Jika aktiviti melibatkan kanak-kanak maka ibubapa/penjaga perlulah mengawas dengan rapi. Kepada yang bergejala perlulah bertanggungjawab untuk menangguhkan aktiviti bersukan ini dengan mendapatkan rawatan atau kuarantinkan diri. Elakkan meludah, membuang hingus  atau batuk ditempat orang ramai. Sentiasalah memakai pelitup muka apabila selesai bersenam atau beriadah serta beredarlah dengan segera dari tempat aktiviti. Cuba elakkan melepak selepas itu di tempat-tempat makan yang ramai orang. Sebaik-baiknya adalah beli makanan berbungkus dan terus pulang.
Bagi pihak penguatkuasa pula, pemantauan lebih kerap diperlukan agar SOP tidak dilanggar sama ada sebelum, semasa atau selepas melakukan aktiviti. Mungkin diperingkat awal ini pihak berkuasa boleh menjalankan aktiviti peringatan di tempat-tempat tumpuan agar pengemar sukan dan riadah ini sentiasa peka.
Sama-samalah kita menghargai kebenaran yang telah diberikan ini oleh Kerajaan Negeri Sabah dan dibalas dengan pematuhan SOP bagi melandaikan kes Covid19. Semoga lebih banyak lagi aktiviti sukan dibenarkan selepas ini dan akhirnya Negeri Sabah menjadi antara negeri yang paling awal bebas Covid19. Kita jaga kita  dan siapa lagi kalau bukan kita.
KOLONEL (PA) PROFESOR MADYA DR MOHAMAD NIZAM BIN NAZARUDIN
Program Sains Sukan, Fakulti Psikologi dan Pendidikan , Universiti Malaysia Sabah