TAWAU: Cubaan tiga pendatang asing (PTI) untuk masuk ke daerah ini secara haram gagal apabila ditahan oleh sepasukan anggota ESSCOM yang sedang melakukan rondaan Op Cegah Pati (OCP) daratan, dekat sini, awal hari ini.
Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman dalam satu kenyataan berkata mereka yang disyaki baru tiba dari negara jiran itu, ditahan ketika menaiki sebuah kenderaan MYVI biru di Kampung Hidayat, batu 4, Jalan Apas, Tawau.
Beliau berkata ketika kejadian jam 5.20 pagi itu, sepasukan anggota keselamatan yang terdiri daripada 6 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14, 5 anggota 6RAMD (ATM) ketika melakukan rondaan Operasi Cegah Pati (OCP) Daratan yang diketuai oleh seorang anggota ESCCOM telah menahan sebuah kenderaan MYVI biru dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Kg. Hidayat, batu 4.
“Hasil pemeriksaan, terdapat seorang pemandu bersama 2 lelaki dan 1 wanita berada dalam kenderaan tersebut.
“Siasatan lanjut mendapati kesemua mereka mengaku berasal daripada Sg. Pancang, Indonesia menggunakan laluan yang tidak sah untuk menyusup masuk ke daerah ini menggunakan jalan laut menggunakan bot.”
“Turut ditahan seorang tekong darat warga tempatan yang disyaki turut terlibat dalam aktiviti berkenaan”, katanya.
Beliau berkata kesemua suspek yang berumur antara 25-57 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002.
“Turut disita sebuah kenderaan MYVI Biru yang telah digunakan dalam kegiatan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM 20,000.00 “, katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan yang terlibat dalam membantu menjayakan Op Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM di daerah ini terutamanya kepada semua anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 6RAMD (ATM) yang terlibat dalam operasi ini.
Beliau berkata kejayaan ini merupakan hasil kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat terutamanya dalam menggagalkan taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan lorong-lorong tikus untuk memasuki negara ini secara haram.
Menurutnya lagi, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan di ESSZONE yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh ESSZONE dengan mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif melalui pelaksanaan OP Cegah Pati (OCP) dengan menggunakan dan mengadaptasikan konsep “show of presence” bagi mengawal dan mengekang kemasukan PATI terutamanya daripada negara jiran dalam usaha kita untuk memutuskan rangkaian COVID-19 daripada di bawa masuk ke negara ini melalui PATI.