TAMBUNAN: Sebagai daerah kelahiran Parti Bersatu Sabah (PBS), Tambunan akan kekal sebagai asas perjuangan politik kepada PBS.
Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata memandangkan Tambunan adalah kubu kuat PBS, maka tidak hairanlah parti ini kekal tersemat di dalam hati masyarakat.
“Walaupun kerusi DUN Tambunan dan Parlimen Keningau bertukar tangan kepada rakan sekutu kita dalam Gabungan Rakyat Sabah, kita tidak perlu berasa kecewa, dan sebaliknya terus mengiktiraf daerah ini sebagai asas perjuangan politik kita.
“Biarkan ini menjadi peringatan kepada PBS, jadikan ia sebagai isyarat dan keperluan mendesak untuk lebih memantapkan bahagian PBS di Tambunan dan Keningau,” katanya kepada hadirin pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-35 PBS N39 Tambunan, hari ini.
Dalam masa sama, Ongkili menekankan penyusunan semula parti sedang dijalankan di ketiga-tiga bahagian Parlimen Keningau – Tambunan, Liawan dan Bingkor, bagi menarik lebih ramai generasi muda.
“Perasaan sentimental terhadap PBS masih kuat, terutama di kalangan golongan pertengahan umur dan warga emas, dan kami ingin mengalu-alukan penglibatan pemimpin baru ke dalam parti ini.
“Misi dan visi PBS kini adalah untuk meyakinkan generasi muda agar memahami dan menerima asas perjuangan PBS, di samping meneliti kejayaan dan pengalaman terdahulu parti ini. Banyak parti baharu datang dan pergi. Mereka muncul pada masa pilihan raya, dan apabila mereka gagal memenangi kerusi, mereka lenyap, bak kata pepatah: bagai cendawan tumbuh selepas hujan,” katanya.
Ongkili menambah bahawa PBS kini bersiapsiaga untuk menuntut semula kerusi Parlimen Keningau, yang secara tradisional milik PBS
Setelah 36 tahun wujud, PBS adalah parti politik berbilang kaum tertua di negara ini, dan keunikan telah diketahui rakyat Sabah.
“Mungkin ada yang bosan mendengar pendirian PBS berulang kali, namun ia adalah teras nilai parti kita dan mencerminkan perlembagaan parti ini. Ia adalah asas perjuangan pengasas parti, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan apabila beliau membentuk PBS pada tahun 1985.
“Sedekad yang lalu, ketika parti-parti politik baru dibentuk di Sabah, PBS telah menyedari sentimen orang Sabah dan isu-isu seperti hak negara, kehadiran pendatang tanpa izin dan perpaduan semakin usang, serkng diperjuangkan oleh PBS.
“Namun kita tetap bertahan dan berpendapat bahawa ini adalah teras yang harus disemai dalam hati nurani rakyat Sabah untuk menjadikan Sabah aman, bersatu dan makmur,” tambah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).
Beliau mengatakan PBS menghargai perjuangan sejarah dan politik parti dan percaya bahawa penyokong asal mereka merasa selasa dalam PBS yang sentiasa berkongsi sentimen dan kebimbangan mereka.
“Misi kami sekarang adalah untuk mengalu-alukan dan mengasah bakat pemimpin muda, dan berharap mereka dapat berkongsi idea baru dan kepakaran untuk meremajakan PBS.
“Marilah teruskan perjuangan kita, terutama sekali golongan muda, teruskan misi dan visi PBS. PBS adalah anda, anda adalah PBS.
“PBS akan sentiasa kekal di sini dan Tambunan akan memainkan peranan utama untuk membina semula PBS,” jelasnya.