RANAU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menerima 500 ahli baharu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang dan DUN Panginatan yang mana borang keahlian masing-masing diserahkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang kali ke-35 pada Sabtu.
Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Bahagian PBS Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, kemasukan baharu itu membuktikan bahawa perjuangan parti tersebut diterima oleh masyarakat Sabah.
Katanya, sebagai sebuah parti yang mementingkan semangat muhibah , keamanan, kemajuan, keharmonian dan persefahaman demi memastikan proses integrasi dan perpaduan semua kaum di Malaysia, khususnya di Sabah PBS amat mengalu-alukan kemasukan ahli baharu berkenaan.
“Selamat datang kepada semua ahli baharu dan tahniah kerana anda telah memilih PBS sebagai parti anda dan sama-sama kita berjuang dalam parti,” kata Dr. Joachim.
Sementara itu, ketika berucap pada AGM itu, Dr. Joachim mengingatkan para pemimpin parti itu bahawa jawatan yang disandang bukan untuk mencapai kepentingan peribadi mereka.
Sebaliknya tegas beliau, jawatan seperti Ahli Jawatankuasa Induk, Pemuda dan Wanita (IPW) serta Ketua-Ketua Cawangan perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab dan tugas perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan berintegriti tanpa mengira faham politik di kawasan masing-masing.
“Saya mengingatkan semua ahli parti yang menjawat jawatan tertentu untuk menjalankan tugas tanpa mengira fahaman politik.
“Kekuatan akar umbi dalam parti amat mempengaruhi kekuatan parti. Sekiranya semua gagal berbuat demikian, kita semua akan terkesan dan yang rugi adalah kita sendiri,” tegas Dr. Joachim.
Sementara itu, Timbalan Presiden PBS, Datuk Radin Malleh dalam ucapan perasmian berkata, PBS adalah sebuah parti pelbagai kaum yang menjaga, melindungi dan mengekalkan hak-hak dan kepentingan rakyat Sabah.
“Marilah kita berganding bahu, seiring dan sejalan berjuang dalam parti,” katanya.