Ewon Sambut Baik “Pesta Kaamatan” Perkasakan Perdamaian

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan usaha yang dibuat oleh Jawatankuasa Induk Sambutan Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2021 mengadakan adat istiadat perdamaian sesama komuniti dan dengan alam sejagat.

Advertisements

“Beberapa hari lepas, saya dimaklumkan bahawa acara adat istiadat pelaksanaan perdamaian, penyembuhan dan pengimbangan alam sejagat sebagai pengisian baharu sambutan Kaamatan peringkat negeri tahun ini akan diadakan bermula di Kg Kiau, Kadamaian.

“Saya diberi penjelasan bahawa ianya berkenaan usaha untuk memperkasakan perdamaian sesama komuniti dan juga di antara komuniti dengan alam sejagat. Jika ianya perdamaian, maka ianya sesuatu yang saya alu-alukan. Sebab itu saya bersetuju hadir menyaksikan acara ini,” kata beliau.

Ewon turut merakamkan penghargaan kerana jawatankuasa induk memilih Kg Kiau sebagai pelaksanaan pertama acara tersebut yang dilaksanakan mengikut adat tradisi.

Ewon yang juga merupakan Naib Presiden Upko menambah usaha perdamaian tidak hanya boleh dilaksanakan secara ritual tradisi, malah boleh dilaksanakan oleh pihak gereja atau agama dan juga akedemik.

“Perbezaan dalam kepimpinan dan parti politik adalah perkara biasa. Tetapi dalam mengurus rakyat dan negara, kita boleh merumus banyak perkara melalui usaha-usaha perdamaian di antara pemimpin dan sesama komuniti. Kita boleh menjalin kerjasama dan persetujuan untuk kebaikan rakyat meskipun kekal dengan prinsip kepimpinan masing-masing,” katanya.

Ewon menyatakan demikian semasa berucap di Majlis Adat Istiadat Perdamaian, Penyembuhan dan Pengimbangan Alam Sejagat di Kiau Nuluh pada Sabtu, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Kaamatan Peringkat Negeri tahun ini.

Acara tersebut diperkenalkan buat kali pertama sebagai sebahagian pengisian sambutan Kaamatan di peringkat negeri.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles